Menteri Kewangan perlu bentang kertas putih
PARTI Islam Se-Malaysia
(PAS) meminta Menteri Kewangan untuk membentangkan satu kertas putih
mengenai kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Persekutuan sebelum
pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.
Kertas putih tersebut sangat penting
untuk menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa
kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan dan
pemimpin-pemimpin yang lain.
Menteri Kewangan dalam satu kenyataan
kelmarin (13 Oktober) memberitahu kerajaan yang dipimpin oleh Barisan
Nasional telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada
30 April 2018.
Beliau turut mendakwa akaun hasil
disatukan telah susut mendadak sebanyak 96% daripada jumlah asal iaitu
RM11.86 bilion pada akhir 2017.
Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu
diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang
telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus
dalam tempoh Mei hingga September 2018.
Sementara itu, Menteri Pertahanan juga
telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam
satu program di Universiti Malaya kelmarin (Sabtu, 13 Oktober).
Beliau mendakwa nilai sebenar hutang
negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan
oleh Menteri Kewangan sebelum ini.
Kerajaan Persekutuan dikatakan telah
menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan
menjadi muflis seperti Greece.
Kenyataan Menteri Pertahanan tersebut
amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai
2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan
Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.
Jawapan yang diberikan selaras dengan
laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat
oleh Akauntan Negara Malaysia.
Sekiranya, nilai sebenar hutang Kerajaan
Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri
Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan
Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah
palsu.
Oleh itu, bagi menangani kecelaruan ini,
Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan
kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan-kenyataan
pemimpin negara dimanipulasi.
Ia bukan perkara yang remeh sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Islam Memimpin
Nasrudin HassanKetua Penerangan PAS Pusat.
6 Safar 1440 | 15 Oktober 2018 ...............................................................................................................................................................
Admin :Atas sebab sebab tertentu ,pihak kami akan menutup sepenuhnya laman web detikdaily ,dan sila ke laman web baru https://denyutreformasi.blogspot.com/..terima kasih atas sokongan ada semua terhadap pihak kami...
No comments