Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

"Puas Hati'' Plan Rasionalisasi 1MDB : Takziah Pas Dan Tahniah Arul Kanda !

1. Saya mengikuti penuh minat laporan media samada media cetak dan media elektronik berkaitan pertemuan meja bulat yang diadakan secara tertutup antara pimpinan dan sebahagian Ahli Parlimen PAS dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pada hari Isnin 7 Ogos 2017 yang saya kagum apibila inisiatif pertemuan ini dikepalai oleh Timbalan Presiden PAS Datuk (Ustaz) Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu satu-satunya pimpinan kanan parti saya (PAS) yang sebelum ini konsisten menegur kepincangan urus tadbir dan skandal 1MDB.

2. Sebagai seorang yang mengikuti secara dekat dan agak mendalam mengenai isu-isu yang 'mengotorkan' 1MDB di mana ianya tidak dapat diragui lagi bahawa skandal 1MDB ini adalah malapetaka besar tentang penyewelengan mega yang dilakukan oleh kleptokrat UMNOBN sepanjang sejarah kemerdekaan negara, maka saya yakin pimpinan parti saya (PAS) terutama sekali Ustaz Tuan Ibrahim tidak akan mudah untuk 'diperdayakan' oleh pengurusan 1MDB dalam masa tiga jam.

Dengan terbongkarnya pelbagai pekung yang melingkari 1MDB, saya yakin semua rakyat boleh rujuk maklumat dari pelbagai sumber dengan mudah, tidaklah juga mudah untuk Arul Kanda 'memperdayakan' Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya (PAS), apatah lagi Ustaz Tuan Ibrahim turut diiringi oleh beberapa lagi 'pakar ekonomi' termasuklah Tan Sri Khalid Ibrahim di dalam pertemuan tertutup dengan Arul Kanda Kandasamy.

3. Penelitian terhadap kenyataan Ustaz Tuan Ibrahim di dalam pelbagai media dan termasuk mendengar sendiri rakaman kenyataan tersebut membuatkan saya ragu dan langsung tidak dapat memahami bagaimana Ustaz Tuan Ibrahim dengan 'selamba' mengatakan beliau dan parti saya (PAS) berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda Kandasamy terutama berkaitan dengan plan rasionalisasi 1MDB.

Sejak setahun yang lepas, rakyat melihat bahawa pelan rasionalisasi 1MDB inilah yang menjadi 'ubat sakit kepala'' untuk Arul Kanda jual di merata tempat bagi memberi gambaran kononnya "all is well" di dalam 1MDB walaupun dalam masa yang sama  pelbagai pendedahan dan masalah yang dihadapi 1MDB termasuk yang paling kronik masih lagi gagal dijelaskan oleh Arul Kanda tentang bagaimana 1MDB digunakan sebagai 'conduit' (saluran) untuk menyelewengkan wang negara.

4. Persoalan utama ialah bagaimana Ustaz Tuan Ibrahim dengan selamba boleh 'berpuas hati' dengan plan rasionalisasi 1MDB itu sedangkan secara terang-terang plan rasionalisasi yang dijaja Arul Kanda Kandasamy tersebut wujud  akibat dari skandal dan 'rompakan mega' wang 1MDB.

Pada awalnya pelan rasionalisasi yang dijaja ialah menjual aset 1MDB iaitu tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang diperolehi dengan harga yang murah dari kerajaan kepada Tabung Haji dan menjual aset tenaga janakuasa eletrik kepada syarikat dari negara China, maka saya tertanya-tanya apakah pelan rasionalisasi yang umpama pelan gali lubang tutup lubang jual barang bayar hutang sebegini adalah solusi terbaik hingga memuaskan hati pimpinan parti saya (PAS).

5. Pelan ini hanyalah satu gimik 'silap mata' untuk menunjukkan 1MDB bebas dari bebanan hutang sedangkan pada masa yang sama hutang-hutang tersebut dan segala liabiliti 1MDB dipindahkan kepada kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan lain-lain syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebagai contoh,hutang pinjaman dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sebanyak RM4 bilion oleh SRC International yang asalnya adalah sebuah syarikat berkaitan dengan 1MDB tetapi kemudiannya dipindahkan kepada MOF Inc.

Tidakkah Ustaz Tuan Ibrahim dan rakan-rakan dalam parti saya (PAS) nampak bahawa susunan pelan rasionalisasi 1MDB ini adalah pelan untuk melindungi penyangak negara dan segala malapetaka serta bala hutang 1MDB yang akhirnya terpaksa ditanggung dan dibayar oleh rakyat Malaysia.

6. Belum sampai dua hari rasa kepuasan hati Ustaz Tuan Ibrahim selepas penuh yakin mengatakan berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda Kandasamy, tiba-tiba Allah tunjukkan bagaimana bala dan malapetaka 1MDB akan terus menyusahkan negara dan rakyat Malaysia.

 Apa tidaknya selepas tamat tempoh pada 31 Julai 2017 yang lalu dan seterusnya setelah tamat 'grace period' selama lima hari untuk 1MDB membayar balik ansuran hutang pertama berjumlah USD603 juta (RM2.6 bilion) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), ternyata 1MDB gagal untuk berbuat demikian hingga terpaksa merayu bagi mendapat lanjutan masa hingga akhir Ogos 2017 sedangkan kerajaan sendiri menyedari tanggungjawab untuk membuat bayaran tersebut sejak bulan April sebagaimana yang dipersetujui di dalam proses arbitrasi kedua belah pihak.

Mungkinkah Ustaz Tuan Ibrahim dan PAS tidak sedar hal ini adalah bukti nyata bahawa 1MDB dan kerajaan menghadapi masalah ketidakcukupan wang serta hilang upaya untuk membayar hutang tersebut hingga terpaksa merayu lanjutan masa.Oleh itu, dimana rasionalnya plan rasionalisasi 1MDB yang membuatkan parti saya (PAS) berasa 'puas hati' itu?

7. Dalam hal ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan saya ingin mengucapkan takziah kepada Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya (PAS) yang terang-terang diperdayakan oleh 'ahli silap mata' sedangkan hakikat sebenar skandal 1MDB ini amat jauh lagi jalan penyelesaiannya.Saya juga ingin mengucapkan 'tahniah' kepada Arul Kanda Kandasamy dan 'pakar ekonomi' yang turut serta dalam pertemuan meja bulat itu kerana berjaya meyakinkan Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya (PAS)sehingga rasa berpuas hati dengan langkah-langkah pemulihan 1MDB yang sedang dilaksanakan sekarang.

Skandal 1MDB yang disimpulkan sebagai 'nasi sudah menjadi bubur' itu amat jijik dan meloyakan rakyat kerana bubur yang terhasil itu sudah basi akibat ketidaktahuan tentang selok belok peralatan yang menjadi penyebabnya.

Rakyat seluruh negara termasuk saya dan ahli-ahli PAS seluruh negara dukacita apabila pimpinan parti saya (PAS) sedang dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai 'tukang cuci najis' 1MDB.

Kenyataan "PAS puas hati plan rasionalisasi 1MDB" bukanlah satu solusi sebaliknya menyebabkan rakyat sakit hati pada PAS dan menjadi bahan ketawa peminat lawak jenaka sampai tak kering gusi.Tak perlu pun Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya (PAS) menyatakan puas hati, tetapi sebaiknya selepas sidang meja bulat tersebut cukup bagi PAS  menyatakan akan menumpukan usaha untuk mengajak rakyat bersama menghalang kumpulan 'tukang masak' yang menyebabkan nasi menjadi bubur dan basi sebagai satu solusi bagi mengelak pembaziran yang lebih dasyat dengan menghumban kerajaan kleptokrat UmnoBN.

"Nasi tidak mentah bubur tidak basi..Bina solusi tolak kleptokrasi"

#TakMauUmnoBN
#RakyatDerita
#LawanTetapLawan

Dato' Hj Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena

1 comment:

  1. Takziah mahfuz.. jika jdi calon Pan.. tahniah jika jdi calon Pas..

    ReplyDelete