Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Siapa peduli? 15 bulan di khemah

Oleh Rahman Imuda

Kedatangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan hari raya ke Tawau membawa seribu harapan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, Tawau sering menghadapi kebakaran.

Timbalan perdana menteri mengumumkan dana sebanyak RM2 juta untuk membaik pulih “pasar gantung” yang baru-baru ini hangus dijilat api. Pasar gantung ini merupakan tempat yang menjadi tumpuan para pelancong sekiranya bertandang ke Tawau.

Pasar gantung menawarkan pelbagai cenderamata yang bertemakan Sabah dengan harga yang murah. Ketika peniaga-peniaga di pasar tersebut boleh menarik nafas lega, masih ada mangsa kebakaran yang telah dilupakan oleh para politikus dan warga Tawau.


Mereka adalah mangsa kebakaran yang menetap di khemah kebakaran Batu 2, Jalan Apas, Tawau. Sudah setahun tiga bulan mereka tinggal di khemah sementara ini. Pada siang hari mereka harus berhadapan dengan panas terik dan pada malam hari berselimutkan kedinginan.
Janji-janji kosong

Ketika saya bertanya kepada penduduk di kawasan khemah kebakaran ini, mereka sudah berkali-kali dijanjikan oleh pelbagai “orang besar” untuk ditawarkan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Sehingga hari ini terdapat tujuh keluarga yang tidak memiliki apa-apa kecuali terpaksa bergantung dengan khemah yang semakin hari semakin usang. Berapa lama lagi mereka ingin diberikan harapan palsu?

Tujuh keluarga yang ada di khemah ini merupakan warganegara Malaysia yang akan mengecapi kemerdekaan yang ke-60 pada bulan hadapan. Saya fikir mereka akan menyambut kemerdekaan ini di bawah khemah sekali lagi, seperti mereka merayakan hari raya pada tahun ini.

Apa sebenarnya yang dinantikan oleh mereka yang berkuasa untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran ini? Pilihan raya umum sudah hampir, bukankah memberikan mangsa-mangsa kebakaran ini bantuan akan memberikan “political mileage” yang baik untuk mereka?

Besar harapan saya kepada mereka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk menyuarakan nasib penghuni khemah ini. Ketika mereka sedang menikmati bilik berpendingin hawa, dan gaji yang lumayan, masih ada rakyat yang mereka wakili tidur di khemah, berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit.

Membutakan mata

Satu penyakit yang dimiliki oleh kebanyakan ahli masyarakat kita adalah membutakan mata apabila melihat ada orang lain yang hidup dalam kesusahan. Kawasan khemah kebakaran ini berada di tepi jalan utama di Tawau, Sabah.

Cuba bayangkan berapa banyaknya orang menggunakan jalan raya ini setiap hari, namun suara-suara untuk membela nasib mereka masih juga tidak kedengaran. Masyarakat kita gemar untuk menutup mata dan melihat masalah seperti ini “bukan masalah aku”.

Golongan seperti ini hanya akan kisah dan peduli sekiranya mangsa-mangsa yang terlibat dengan kebakaran itu adalah diri mereka sendiri atau golongan keluarga mereka.

Sikap seperti ini cukup menyedihkan dan harus diubah sekiranya kita ingin menjadi sebuah bangsa yang gah pada masa hadapan. Apabila kita berbumbungkan langit yang sama, dan menghirup udara yang serupa, seminimanya kita mengambil tahu tentang isu-isu masyarakat yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Saya percaya sekiranya warga Tawau bersatu untuk mendesak mereka yang bertanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran ini, pastinya mereka akan dibantu.
Budaya kebanyakan ahli politik di Malaysia memang seperti itu, sekiranya mereka tidak diketuk atau disedarkan, mereka juga akan menutup mata daripada melaksanakan apa yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka.

Hidup pada zaman yang dikuasai oleh teknologi dan gajet, isu-isu yang tular pasti akan mudah menarik perhatian orang-orang yang ingin mengekalkan nama baik dan kuasa mereka. Oleh itu, warga Malaysia harus menggunakan kuasa penularan untuk “mengetuk” kepala-kepala mereka yang bertanggungjawab, terutamanya mereka yang membuat keputusan.

Bagaikan paracetamol

Kehadiran beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan ke tapak mangsa kebakaran ini telah menjadi “ubat sementara” untuk mereka meneruskan kehidupan. Badan sukarelawan yang datang memberikan bantuan dalam bentuk makanan, pakaian dan keperluan asas.

Namun yang demikian, kemampuan badan-badan sukarelawan adalah terhad, mereka tidak akan dapat membantu mangsa-mangsa ini selamanya. Untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan yang lebih baik, mereka seharusnya dibantu untuk mendapatkan rumah.

Kuasa bantuan pula terletak pada wakil-wakil rakyat dan badan kerajaan yang bertanggungjawab, bukannya pada badan sukarelawan. Tambahan lagi, kebanyakan keluarga ini memiliki anak-anak yang masih bersekolah.

Cubalah kita bayangkan bagaimana sukarnya untuk anak-anak ini belajar. Saya dan beberapa orang sahabat telah melakukan kerja kesukarelawanan di tapak kebakaran ini. Mujurlah ada beberapa mahasiswa dan anak muda Tawau yang masih peduli tentang nasib mangsa kebakaran ini.

Jawatankuasa kebakaran 

Kejadian kebakaran sering berlaku di Tawau, saya fikir sudah masanya diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran. Pada pengalaman saya menguruskan bantuan mangsa kebakaran, bantuan akan hangat pada permulaan tetapi akan semakin susut dan dilupakan setelah beberapa bulan.

Atas sebab inilah mangsa kebakaran yang saya sebutkan masih lagi tinggal di khemah sementara.
Jawatankuasa kebakaran boleh menyusun strategi bantuan yang lebih bersistem dan berperingkat. Bermula daripada bantuan awal sehinggalah proses membantu pembinaan semula rumah.

Jawatankuasa ini akan disertai oleh jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan wakil penduduk. Baru-baru ini sebanyak 250 rumah hangus di Kampung Hidayat Batu 4, Jalan Apas.
Adakah mangsa kebakaran di sana akan menerima nasib yang sama?

* Rahman Imuda, seorang aktivis siswa, adalah presiden Ikatan Anak Tawau.

No comments