Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Azmin , Azizah , Cermin Diri Dahulu Sebelum Cuba Test PAS


Oleh  Alang Ibn Shukrimun

Walaupun Azmin menyatakan kunjungan beliau ke atas Presiden PAS tempoh hari sekadar ziarah biasa, tetapi amatlah naif bagi yang mempercayainya. Setiap tindak tanduk politikus tidak boleh dibaca di atas permukaan sahaja, lebih-lebih lagi mereka yang sudah dikenali latarbelakang dan kelicikannya.

Azmin merupakan Pengarah Pilihanraya PH. Beliau datang bersama Presiden PKR Wan Azizah. Umum mengetahui kedua mereka bukan dari kem yang sama. Sengketa Langkah Kajang dahulu masih membengkak di dalam PKR. Justeru apabila kedua pihak dari kutub berbeza ini hadir bersama atas nama ziarah kosong, ia adalah sesuatu yang amat pelik.

Umum juga mengetahui hubungan PAS dan PKR tegang akhir-akhir ini. PKR telah melanggar syarat-syarat tahaluf yang diletakkan PAS. PKR tidak mengendahkan saranan PAS untuk tidak menyokong PAN di Kelantan yang terang-terangan mahu menjatuhkan kerajaan negeri. PAS mengambil langkah besar memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Apa yang pelik, desas-desus PKR mahu berbaik semula dengan PAS sangat kuat dimainkan oleh media pro-PKR dengan naratif yang pelbagai. Ada cerita konon 3 negeri mahu autonomi untuk bekerjasama dengan PKR. Wan Azizah pula keluarkan kenyataan tidak tolak kemungkinan berbaik. Tarik balik arahan untuk keluar dari kerajaan Kelantan.

Gambar pertemuan antara Azmin dan Presiden PAS menambah persepsi ini. Seolah matlamat utama pertemuan tersebut adalah gambar itu sahaja, bukan isi perbincangannya. Azmin dan Wan Azizah sendiri tahu memang sukar untuk mematahkan ketegasan Presiden PAS. Dapat bergambar merupakan kejayaan Azmin, bagi membuktikan kepada PH dia buat kerja, selain membentuk persepsi yang disebutkan.

Tanpa kerjasama dengan PAS, PKR lah pihak yang paling rugi. Mereka selama ini menyertai PRU dengan bantuan PAS. Mereka tidak memiliki jentera di peringkat akar umbi melainkan dua tiga kerat sahaja. Undi pun tumpang sokongan PAS. (Nak bertanding pun minta PAS bayarkan deposit. Selepas itu lesap.)

Adakah PAS juga rugi? Tidak sekali-kali. Kerana matlamat perjuangan PAS adalah membela agama Islam. Soal kuasa dan kerusi no.2. Bila bertembung antara kepentingan agama dan kuasa, agama didahulukan. Jika Islam untung, untunglah PAS walau tanpa 1 kerusi pun. Apa guna bersama PH tapi membuat DAP yang membenci Islam itu tambah berkuasa?

Lagipun, kajian terkini mana-mana badan menunjukkan sokongan kepada PAS meningkat naik, terutama di kalangan orang Islam dan melayu. Terbaru sokongan popular kepada PAS sudah mengatasi Umno! Justeru amat dangkal untuk memikat PAS, dengan hujah data-data perbandingan dulu antara bertahaluf dan bersendirian semata-mata. Perubahan realiti harus diambil kira.

PKR boleh berangan untuk berbaik dengan PAS. Tetapi untuk menjadikan ianya realiti, PKR harus cermin diri dahulu. Muhasabah dan tanya diri beberapa perkara ini:

1. Apakah PKR boleh membantu PAS menegakkan Islam di Malaysia, atau lebih cenderung untuk bersama perjuangan DAP dan kumpulan-kumpulan yang membenci Islam.

2. Di manakah kubu kuat PKR? Di Permatang Pauh pun cuma ada 15 orang AMK dalam demonstrasi bantah Najib siang tadi.

3. Apakah PKR mampu untuk halang PAN dan DAP dari mengganggu kerusi yang ditandingi PAS? PAN sudah berikrar mahu tumbangkan PAS di Kelantan. DAP sudah umun kerusi-kerusi PAS yang mahu ditandingi.

4. Apakah jaminan PKR tidak akan cari pasal lagi dengan PAS selepas PRU? Atau cuma meneruskan adat mereka yang hanya berbaik dengan PAS setiap kali musim PRU?

5. Apa sebenarnya hala tuju PH? Mahu bawa negara versi cauvinis DAP? Atau agenda kristianisasi? Atau negara versi kronisme, sekularisme dan kapitalisme Mahathir?

Sayugia diingatkan kepada PKR, walaupun mereka boleh memberi komitmen untuk perkara di atas, keputusan untuk kembali bekerjasama bukanlah sesuatu yang mudah. Memutuskan tahaluf dahulu adalah suara ahli, dan muktamar bersetuju sebulat suara. Ia juga adalah keputusan Majlis Syura Ulama.

Kalau Azmin fikir untuk bermain politik dengan membeli Presiden PAS, beliau silap besar. Ayah Chik bukan seorang jenis yang makan sogokan. Lihat gaya hidupnya sahaja sudah dapat diketahui. Apalah sangat dengan dedak MB Selangor, kalau dedak kerajaan Saudi dan Qatar pun beliau tidak endahkan.

Simpan kemas kata-kata Naib Presiden PAS, Dato Nik Amar ini: "Kalah atau menang, PAS tetap akan melawan PKR dan DAP (selain BN). Lawan tetap lawan. Tak kira dua atau tiga penjuru." Ucap beliau ketika berada di Permatang Pauh.

Kita faham. Sukar bagi Azmin dan Azizah untuk mempertahankan kerusi mereka Gombak dan Permatang Pauh. Keduanya dianggap kerusi maruah PKR. Kalah keduanya, gelaplah masadepan politik mereka. Tetapi ambillah sebagai pengajaran, agar selepas ini utamakan gerakerja untuk menguatkan parti di peringkat bawahan dahulu, bukan sibuk bermain politik di atas awangan sehingga menyusahkan rakyat bawahan seperti Langkah bodoh Kajang itu.
25 Zulkaedah 1438

17 Ogos 2017
(Alang Ibn Shukrimun)

No comments