Terkini

Potensi besar PAS di Seri Setia dan Balakong

Oleh AL-ABROR MOHD YUSUF

 Tidak banyak pilihan yang ada buat PAS sekarang. Dalam keadaan parti itu semakin terpinggir tindakan paling bijak ialah mengambil langkah yang tepat dan segera.

Memanglah kalau ditanyakan kepada orang seperti Nasrudin Hassan dan Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, kalau ditakdirkan AMANAH bubar dan anggotanya berbondong-bondong masuk PAS, mereka akan bertegas bahawa PAS tidak pernah lemah.

PAS tidak pernah kalah, cuma belum menang.

Cuma itulah, kadang-kadang kesungguhan PAS untuk mencapai kemenangan itu tidak selari dengan apa yang mereka buat. Ia kira-kira sama macam seseorang yang sedang berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta dan bersedia 110 peratus untuk menuju destinasi yang dikehendaki.
Dia pun menekan pedal minyak kereta itu sekuat hati. Masalahnya ialah, gear dibiarkan dalam keadaan neutral. Maka jadilah enjin itu terbiar dalam keadaan melahu ketika pemandu dan penumpangnya bercita-cita untuk sampai ke tempat yang dituju.

Namun itu bukanlah masalah sama sekali buat PAS. Bagi PAS kemenangan yang sebenar ialah di akhirat. Maka apa yang dilakukan di dunia ini perlu diterima dengan pasrah, terutama apabila ia disurahkan daripada mulut presiden atau mursyidul am mereka.

Maka dalam keadaan itu, kita memahami percaturan PAS dari semasa ke semasa. Cuma kalau boleh kita juga mahu mencadangkan beberapa idea kepada parti itu menjelang berlangsungnya dua pilihan raya kecil (PRK) pada 8 Sept nanti.

Semarak slogan ABAH

Pertama, PAS perlu meneruskan eksperimen siasah mereka selepas PRK Sungai Kandis. Apa yang mereka lakukan mulai 21 Jul hingga 4 Ogos lalu adalah langkah tepat untuk membina PAS yang lebih ampuh.

Justeru di medan Sungai Kandis dan Balakong PAS mempunyai makmal yang luas untuk meneruskan uji kaji siasah mereka. Letaklah apa istilah atau nama Arab apa pun, ia tentu akan diraikan oleh orang ramai, khususnya pengundi di kedua-dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) berkenaan.

Antara uji kaji yang perlu dilakukan PAS ialah membawa Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekerap mungkin ke kedua-dua kawasan DUN berkenaan.

Lebih kerap beliau hadir lebih baik, terutama di Balakong. Bukanlah pengundi di Balakong itu juga rakyat Malaysia yang berhak disantuni Abdul Hadi?

Kedua, semarakkan slogan yang ampuh dan padu Asalkan Bukan Pakatan Harapan (ABAH). Perlu diulang-ulang dan diratibkan slogan ini seperti ABU (Asalkan Bukan Umno) yang pernah dilakukan oleh penentang BN suatu ketika dulu.

Lebih menarik, laungkan slogan ABAH itu sekuat yang mungkin semasa Abdul Hadi hadir. Memang mugkin ada penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mentertawakan ABAH sebagai "Asalkan Bukan Abdul Hadi" tetapi usah dipedulikan semua itu.
Mereka bukannya tahu apa-apa tentang siyasah PAS yang hebat itu.

Ketiga, tonjolkan watak-watak penting dan berkaliber dalam PAS yang ada sekarang. Ia perlu untuk membuktikan parti itu tidak pernah ketandusan pemimpin yang pintar dalam percaturan sehari-hari, sama ada sebagai parti politik atau badan dakwah.

Jika dulu almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya menawan hati ramai, sekarang pemimpin yang ada juga tidak kurang handalnya.

Selain Abdul Hadi PAS ada Nasrudin Hassan, Nik Mohamad Abduh, Mokhtar Senik dan Dr Zuhdi Marsuki adalah antara pelapis yang memiliki masa depan yang sangat cerah di persada politik negara.

Tidak ketinggalan penting ditonjolkan dan dibawa berkempen ialah Menteri Besar Terengganu Dr Samsuri Mokhtar, walaupun ia nanti mungkin akan mengundang persepsi bahawa PAS sebenarnya tidak dapat mempertaruhkan kewibawaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Senjata rahsia

Keempat, pada saat-saat akhir pelawa Datuk Seri Najib Razak untuk turun berkempen, sama ada di Seri Setia atau Balakong. Ia boleh dianggap sebagai senjata rahsia untuk memenangkan pembangkang di Selangor.

Sifirnya sangat mudah. Di Seri Setia parti yang bertanding mewakili pembangkang bagi mencabar hegemoni HARAPAN ialah PAS.

Abdul Hadi, Nasrudin dan rakan-rakannya yang penuh bakat dan kebolehan itu tentu dapat mengolah sokongan padu di kalangan penyokong PAS.

Kalau bernasib baik kempen dan syarahan mereka juga akan memberi kesan kepada penyokong HARAPAN. Silap-silap hari bulan habis semua hati anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) berbolak-balik dek hujah-hujah penceramah PAS yang fasih itu.

Dengan dibantu simpulan bahasa, bidalan dan peribahasa yang memang dikuasai PAS, ia boleh memberi kesan kepada penyokong PKR dan BERSATU. Jika itu berlaku, hanya penyokong tegar DAP sajalah menjadi harapan calon HARAPAN di Seri Setia.

Tambahan pula PAS meletakkan Dr Halimah Ali (gambar) sebagai calon mereka.

Secara jujur, Dr Halimah ialah winning material untuk Seri Setia. Dia bukan saja mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat, malah turut pernah menjadi exco Selangor.

Di luar pula dia tidak banyak mencipta kontroversi. Jauh benar beza pengalaman Dr Halimah berbanding calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar.

Pantang diusik

Dalam keadaan begitu, kemunculan Najib menjadi pelengkap janji kemenangan yang bersinar terang di Seri Setia dan Balakong.

Tugas Najib sebenarnya bukanlah sukar sangat. Beliau hanya perlu memahamkan penyokong Umno dan BN bahawa mereka tidak ada pilihan kecuali mengundi PAS di Seri Setia.

Kemunculan itu juga membuka ruang buat Najib menjelaskan tuduhan yang dikaitkan kepadanya oleh kerajaan. Isu 1MDB, misalnya. Jadi, tidaklah beliau hanya berceramah di Facebook semata-mata.

Najib cuma perlukan sedikit masa untuk menawan hati pengundi. Bukankah penyokong Umno sangat terkenal dengan budaya menelan apa saja yang dilafazkan oleh pemimpin - dan beka pemimpin - mereka?

Jangan pedulikan kritikan orang seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani atau Datuk Seri Khaled Nordin yang berpendapat Najib perlu menjarakkan diri daripada Umno.

Kelima - dan terakhir - PAS perlu membuktikan mereka tetap relevan sebagai parti yang sentiasa bersemangat waja. Memang hakikatnya itulah. PAS ibarat anak muda yang sentiasa berdarah panas dan bersemangat tinggi.

Pantang diusik sedikit, PAS akan cekap berpencak dengan lincah di padang yang mereka ciptakan. PAS tetap malar segar dan tak pernah tua, malah pada ketika tertentu kita kagum kerana parti itu tidak pernah beranjak usianya.

Tidak dapat dipastikan sama ada ia kerana DNA parti itu yang setiasa muda atau mengalami masalah tumbesaran.

Tapi bagus juga, sebab PAS akan kekal gagah laksana anak remaja dan tetap memiliki stamina untuk melakukan uji kaji demi uji kaji. Biarkan saja parti lain menjadi kerajaan di Putrajaya, kerana yang penting PAS bertanding dengan kerelaan penuh tidak menjadi kerajaan.

Mungkin itulah yang dirujuk Abdul Hadi sebagai "semangat pembangkang".

1 ulasan:

  1. Mungkin penulis tidak melihat pada statistik..jangan Kita melihat jumlah kerusi sahaja..Kita perlu melihat jumlah undi..jumlah undi Pas 2 juta..tetapi memperoleh 18 kerusi..manakala dap mendapat 2 juta undi tetapi mendapat 40 kerusi..ini kerana negeri Selangor mempunyai terlampau bnyk kerusi Yang Di peruntukan berbanding negeri2 pantai Timur..Pas Dan dap Sama kuat sebenarnya..manakala PKR tidak dapat menandingi umno Di luar Selangor..ini dah terbukti melalui jumlah undi pru14..sila buat kajian lebih mendalam..

    BalasPadam