Terkini

Teguran suci buat MB Johor

Oleh AHMAD HIDAYAT HASNI MD ISA

 Pertama sekali, sebagai seorang rakyat yang mahukan perubahan yang baik, pastinya kejatuhan BN di persekutuan dan beberapa buah negeri, termasuk Johor, adalah satu berita gembira yang bukan senang nak dikecapi.

Tahniah buat pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ucapan Salahuddin Ayub ketika HARAPAN menang di Johor baru-baru ini memberi peringatan kepada pimpinan negeri bahawa pimpinan yang dilantik jika tak jalankan amanah sebaiknya, rakyat akan menghukum.

Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyebut, bahawa pendekatan HARAPAN bukanlah politik balas dendam, tapi politik berasaskan kedaulatan undang-undang.

Namun ketika memberi ucapan setelah majlis angkat sumpah, saya terkejut dengan jawapan Datuk tentang peruntukan pembangunan kepada ADUN pembangkang di negeri Johor.

Datuk memberi jawapan, dan saya petik, "Itu hak kerajaan lah".
"Kalau dulu Umno BN memerintah pun, tak dapat"
Dan ketika ditanya lebih lanjut, "Jadi Umno tidak akan dapat apa-apa peruntukan?"
Datuk membalas, "Kenapa perlu beri kepada mereka?"

Politik balas dendam

Datuk,

Janganlah kerana Pakatan Harapan dilayan teruk ketika BN memerintah, kini Datuk tidak mahu memberi peruntukan kepada mereka. Adakah adil kepada pengundi di kawasan mereka? Di mana semangat demokrasi yang kita laungkan?

Tahukah Datuk, kerajaan Selangor juga turut memberi peruntukan kepada ADUN pembangkang sebanyak RM200,000. Walaupun sebenarnya itu pun masih perlu diperbaiki kerana ADUN kerajaan mendapat RM700,000.

Tapi apa yang saya cuba sampaikan, itu adalah hak mereka, janganlah dinafikan. Mereka bertanggungjawab kepada kawasan mereka, maka berikanlah mereka kuasa untuk menguruskan perbelanjaan kepada kawasan mereka. Mereka milik rakyat juga.

Bukankah kita mahu menyuburkan demokrasi? Bukankah kita mahu proses semak imbang yang efisyen? Bukankah kita mahu pembangkang yang kuat?

Saya ingin memetik kata-kata Maharaja Rom pada abad ke 2, Marcus Aurelius :
"The best revenge is not to be like your enemy."

Buat akhirnya, saya mahu ingatkan kita semua tentang peringatan Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah ayat ke 8, yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Moga Datuk pertimbangkan kembali pendirian Datuk, dan sama-sama kita hindarkan dari politik dendam. Sebarkan politik adil dan berintegriti.

Tiada ulasan