Terkini

'Sokongan India untuk HARAPAN melonjak di Kedah'

Pakatan Harapan (HARAPAN) menyaksikan lonjakan besar sokongan India di Kedah tetapi percubaannya untuk menarik pengundi Melayu masih berjalan dengan perlahan.

Menurut kaji selidik Merdeka Centre, sokongan India untuk HARAPAN melonjak daripada 32.5 peratus pada 2 April 2018 meningkat sehingga 55.7 peratus pada 26 April lalu.

Sebaliknya, sokongan India kepada BN merosot daripada 64.5 peratus kepada 41.2 peratus manakala PAS menyaksikan perubahan yang sedikit sahaja sebanyak 3.1 peratus dalam tempoh yang sama.

Pada minggu-minggu terakhir, HINDRAF telah menganjurkan beberapa majlis berkaitan dengan masyarakat India di Kedah untuk Mahathir.

Sementara itu, Merdeka Centre mendapati sokongan Melayu BN telah jatuh kepada kurang daripada separuh.

Menurut tinjauan itu, sokongan Melayu BN di Kedah turun daripada 53.4 peratus pada 2 April 2018 menjadi 45.6 peratus pada 26 April.

Walau bagaimanapun, PAS mendapat manfaat utama daripada keadaan ini yang menyaksikan sokongan Melayu meningkat daripada 20.4 peratus kepada 20.5 peratus dalam tempoh yang sama.
Sokongan Melayu untuk HARAPAN di Kedah hanya meningkat daripada 26.2 peratus kepada 28.9 peratus sepanjang tempoh itu.

Merdeka Centre berkata HARAPAN masih kurang 10 peratus sokongan Melayu untuk membolehkan gabungan itu berpeluang menawan Kedah.

Bagaimanapun, perlu diambil kira kaji selidik Merdeka Center berkenaan Kedah dibuat sebelum hari penamaan calon dan sebelum kempen PRU14 bermula pada 28 April lalu.

Kajian Merdeka Center yang lebih baru untuk seluruh Malaysia Barat setakat 1 Mei 2018 semalam, menyaksikan peningkatan sokongan Melayu sebanyak 7.8 peratus kepada HARAPAN.

Walaupun kaji selidik di Kedah itu mendapati PAS menerima manfaat paling besar kemerosotan sokongan Melayu dari BN, tetapi pengarah eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian percaya PAS akan mengalami kekalahan besar di pantai barat semenanjung Malaysia.

"Kami fikir di pantai barat, PAS akan kalah teruk," katanya.

Terutamanya kerana PAS hampir tidak mempunyai sokongan Cina dan cuma mendapat sokongan India yang sangat kecil.

Ibrahim (gambar, bawah) berkata demikian dalam siri seminar Ikmas-Merdeka Center mengenai pilihan raya umum ke-14 yang berjudul "The State Battlegrounds" di Kuala Lumpur.

Penemuannya berbeza berbanding hasil dapatan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani yang percaya PAS mungkin dapat memainkan peranan "kingmaker" kerana DUN Kedah mungkin tergantung.

Mohd Azizuddin meramalkan BN akan menang 16 daripada 36 kerusi, diikuti oleh Pakatan Harapan (12) dan PAS (8).

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sentimen pilihan raya sangat dinamik dan pelbagai perkara boleh berubah semasa tempoh kempen.

"Banyak kerusi marjinal di Kedah dan ia boleh dimenangi sesiapa saja," katanya.

Tiada ulasan