Terkini

Reaksi Kepada Surat Nik Abduh

Oleh Mohd Sayuti Omar

Saya juga turut membaca warkah terbuka ditulis Nik Abduh Nik Aziz kononnya mewakili keluarganya. Bahasanya indah tetapi memancung perasaan. Untuk memahami suratnya mudah sahaja, Nik Abduh memberi tahu yang ibunya akan berkempen untuknya, dan dalam masa sama akan berkempen membantu Pas di Dun Chempaka.

Dari segi politik Nik Abduh mahukan dia menang dan abang kandungnya kalah. Penjelasan Nik Abduh itu kontras dengan apa dilakukan abangnya Nik Omar, yang mendoakan kejayaan Abduh di Bachok. 

Perkara lain, Nik Abduh ingin menceritakan kelukaan hati ibunya Tuan Sabariah sebanyak dua kali. Pertama sewaktu adik beradiknya Nik Adli ditahan di bawah ISA, dan kedua terbaru, apabila Nik Omar diambil bertanding di Chempaka. Beliau menyifatkan kejadian itu gangguan kepada keluarga al Aziziyah.

Bagi Nik Abduh dan keluarganya dua peristiwa itu sangat besar dan terkesan berbanding peristiwa2 lain.

Justeru Nik Abduh menasihat abangnya supaya membaca satu kisah agung khalifah Islam yang dibai’ahkan oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah, iaitu Abdullah Ibn al-Zubayr serta memahami fiqh al-Sahabiy al-Jalil dalam memahami peranan seorang ibu dalam politik dan jihad.

Cara Nik Abduh menggarap warkah itu semacam meletakkan Nik Omar dalam kandang salah bersendirian, walhal orang yang bersalah itu belum tentu bersalah kerana Rabuljalil (hakim) akan mendengar juga jawaban dan cerita daripadanya. Dan apabila beliau menyarankan supaya abangnya memahami fiqh menunjukkan beliau menganggap abangnya masih cetek ilmu fiqh.

Dan sebagai kesimpulan kepada warkah itu secara tidak langsung Nik Abduh mengesahkan bahawa kemunculan Nik Omar dihari penamaan calon memberi kesan kepada partinya. Kalau tidak masakan dia memohon maaf kepada Pas diseluruh negara atas apa yang berlaku itu.

Jika kehadiran Nik Omar hanya sebagai hama atau melukut di hujung gantang, Nik Abduh dan sesiapa pun dalam Pas tidak pun perlu memberi reaksi kepada tindakan Nik Omar itu.

Bagi jauhari, ia akan mengenali maknikamnya, dan bagi nelayan yang mahir dia akan ketahui apakah jenis ikan hanya apabila melihat busaran air dipermukaan sungai. Janganlah kita jadi nelayan yang jahil lantas membuka dan menebarkan jala ke atas sang buaya. Bahaya. Trims.

Tiada ulasan