Terkini

Rakyat bukan sekadar tukar parti politik

Oleh Maszlee Malik

Ketika rakyat memberikan undi dan sokongan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memerintah negeri Johor pada PRU ke-14 yang baru sahaja melabuhkan tiranya, ia bukanlah sekadar menggantikan sebuah parti dengan parti yang lain di tapuk pemerintahan negeri.

Hasrat rakyat ialah untuk melihat sinar baru pada politik tanah air.

Generasi muda terutamanya, yang telah menyebabkan tsunami rakyat melanda politik negara sekaligus menghumban jauh BN daripada pemerintahan negeri dan negara, berhasrat untuk melihat satu budaya politik yang lebih matang dan demokratik.

Mereka inginkan politik yang berintegriti, politik yang profesional, amanah dan juga bersikap gentleman.

Budaya politik lama BN yang menindas parti pembangkang di zaman penerintahan mereka merupakan amalan yang tidak demokratik, tidak adil dan keji.

Peruntukan kepada ADUN sepatutnya disalurkan kepada tanpa mengira parti kerana mereka telah dipilih oleh rakyat melalui saluran demokratik.

Saya menyeru Menteri Besar Datuk Osman Sapian agar mempertimbangkan semula kenyataan beliau untuk menghentikan peruntukan kepada ADUN pembangkang seperti yang telah diamalkan oleh rejim BN dahulu zaman berzaman.

Menteri besar perlu meninggalkan budaya BN dan melakukan transformasi dalam corak pemerintahan demi rakyat negeri Johor. Kerajaan negeri HARAPAN wajib memperkenalkan politik bertaraf kelas dunia yang gentleman.

Rakyat mahukan pembaharuan yang menyeluruh dan bukan sekadar pembaharuan dari segi slogan dan wajah para pemimpin sahaja.

Jika kita gagal membawa hasrat rakyat, jangan salahkan rakyat jika mereka menghumbankan kita sepertimana mereka telah menghumbankan BN beberapa hari yang lalu.

Tiada ulasan