Terkini

PRU14 - pertarungan akhir buat Kit Siang, Dr M dan mungkin Anwar

Selama beberapa dekad, Lim Kit Siang menentang Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apabila Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998, pemimpin DAP itu membuka pintu supaya bekas timbalan perdana menteri itu dapat meneruskan serangannya ke atas bekas perdana menteri itu.
Walau bagaimanapun, hari ini, Lim, Dr Mahathir, dan Anwar berada dalam pasukan yang sama.

Masing-masing mendakwa telah mengketepikan perbezaan lampau mereka untuk menyelamatkan negara. Tetapi bagi pengkritik, tindakan itu hanya satu gabungan hiprokit untuk merampas kuasa.

Dalam satu kenyataan media petang ini, Lim berkata berdasarkan umur mereka, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan menjadi yang terakhir baginya, Dr Mahathir dan kemungkinan juga bagi Anwar.
"Saya berusia 77 tahun dan pilihan raya umum ke-14 akan menjadi pertempuran pilihan raya ke-12 dan terakhir buat saya.

"Mahathir kini berusia 93 tahun dan tiada siapa yang menjangkakan dia akan mengetuai sebarang gerakan untuk perubahan politik pada pilihan raya umum ke-15 dalam tempoh lima tahun lagi pada 2023," katanya.

Mengenai Anwar, Lim berkata, ketua umum PKR, yang dijadual akan dibebaskan dari penjara pada 8 Jun, akan berusia 71 dalam tempoh kurang empat bulan.

"Dan jika HARAPAN gagal pada 9 Mei ini untuk membentuk kerajaan, Anwar tidak akan menjadi perdana menteri kelapan seperti yang diputuskan oleh Majlis Presiden HARAPAN.

“Sukar untuk membayangkan dia di barisan depan menerajui kempen nasional untuk perubahan politik pada pilihan raya umum ke-15," katanya.

Justeru, menurut Lim, pilihan raya minggu depan akan menjadi pertarungan “penentuan”.

Tiada ulasan