Terkini

Mahathir minta maaf pada ahli keluarga mangsa Memali

Bekas perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada anggota keluarga yang terkorban dalam peristiwa Memali ketika pentadbirannya 33 tahun lalu.

“Saya dalam ucapan-ucapan saya kadang-kadang tersilap kata, saya minta maaf kalau saya menyebabkan kemarahan orang-orang tertentu,” katanya.

Permohonan maaf terbuka itu dibuat selepas anak penduduk kampung yang terkorban Mohamad Zuhdi Mat Piah meluahkan perasaan tidak puas hati secara keras terhadap Mahathir di Facebook.

Menyifatkan kata-kata Mahathir sebagai “celaka” dan “kurang ajar”, beliau juga rakan rakaman video di media sosial itu turut bergenang air mata mengenang semula peristiwa berdarah itu.

Luahan perasaan itu dibuat setelah Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN malam tadi berkata 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai mati katak dan bukan syahid seperti dianggap PAS.

Beliau mendakwa, “Amanat Hadi” oleh presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pada 1981 menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu.

Peristiwa itu menyaksikan pertempuran penduduk kampung di Baling yang dipimpin ustaz PAS Ibrahim Libya dengan pasukan keselamatan.
Sementara itu, melalui rakaman video di Facebook, Mahathir berkata kenyataannya malam tadi dibuat kerana Hadi yang terlebih dahulu menuduhnya terlibat dengan kematian 14 penduduk kampung dan 14 anggota polis itu.

Sedangkan, katanya, ia mempunyai kaitan dengan Amanat Hadi yang menurutnya mengkafirkan Umno.

“Sebab itu saya perlu jawab. Mungkin perkataan saya itu terkasar tetapi saya minta maaflah kepada keluarga yang terlibat dengan kematian di Memali,” katanya.

Mahathir juga berkata jika Hadi tidak menyebut orang yang melawan kerajaan mati syahid, tentu peristiwa Memali tidak berlaku.

“Ia berlaku kerana kepercayaan apabila membunuh polis kerajaan kita mati syahid, sedangkan dalam al-Quran terang dikatakan kita tak boleh membunuh...,” katanya.

Justeru, kata Mahathir, sebab itulah beliau marahkan Hadi yang didakwanya menjadi punca, dan bukan orang lain.

Beliau sendiri, katanya, tidak terlibat.

“Ini tindakan polis, sekali lagi saya mohon maaf,” katanya.

Amanat kontroversi Hadi itu antaranya berbunyi:
“Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
“Percayalah saudara-saudara sekelian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku.”

Hadi pada 31 Disember tahun lalu berkata ucapan kontroversinya itu patut dilihat secara menyeluruh.

“Mengambil petikan ucapan tanpa mengambil penjelasan adalah satu tindakan yang salah. Ini kerana semata-mata kepentingan politik," katanya.

Tiada ulasan