Terkini

Lelaki misteri ancam dedah 'video seks' pemimpin AMANAH

Seorang lelaki mendakwa dirinya anggota AMANAH hari ini menuduh salah seorang pemimpin parti itu berkelakuan sumbang tetapi tidak memberikan apa-apa bukti bagi menyokong dakwaannya itu.

Rizal Abu Bakar, yang mendakwa daripada AMANAH Kuala Kedah mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini berjanji untuk mendedahkan "skandal video seks terbaru" yang melibatkan seorang pemimpin parti itu.

Pada majlis itu, beliau menunjukkan tiga gambar tangkap layar perbualan WhatsApp bersaiz kadbod saiz A3, yang kononnya memaparkan perbualan antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Beberapa mesej termasuk imej seorang wanita dengan wajahnya tertutup. Beliau juga memainkan dua rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Dia mendakwa kedua-dua mesej WhatsApp dan klip audio itu menunjukkan pemimpin parti dan wanita tersebut terlibat dalam hubungan sulit.


Dia juga menjelaskan lembaran kadbod A3 ditinggalkan di cermin depan keretanya dalam sampul surat dan dia tidak tahu siapa yang meninggalkannya di sana.

Rizal kemudian mencabar pemimpin parti itu untuk bertindak balas terhadap dakwaannya dalam masa 36 jam atau dia akan mendedahkan "video" sebagai bukti.

"Saya menggesanya untuk memberikan penjelasan, untuk mengatakan sama ada apa yang saya dedahkan itu benar atau tidak.

"Saya berikan tempoh untuk dia memberikan jawapan dalam masa 36 jam ... atau tidak, kita akan bertemu di sini lagi dalam masa 36 jam dan saya akan menunjukkan video," katanya pada sidang media itu.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama pemimpin parti tersebut menanti ulasan beliau.

Pemberita berulang kali meminta Rizal untuk menunjukkan lebih banyak bukti bagi menyokong dakwaannya terhadap pemimpin AMANAH terbabit, tetapi dia enggan mengulas lanjut.

Kemudian, wartawan mengejar lelaki itu dari tingkat pertama hotel di mana sidang akhbar itu diadakan ke keretanya di seberang jalan.

Apabila ditanya bagaimana dia begitu pasti identiti pemimpin parti yang dipersoalkan itu, dia hanya menjawab, "saya akan mendedahkan lebih banyak lagi dalam masa 36 jam".

Dia kemudian mempertahankan dakwaannya itu dan berkata dia tidak membuat tuduhan tetapi hanya "menimbulkan persoalan".

Wartawan terus mendesaknya dengan soalan, kenapa dia enggan menyemak dakwaannya dengan parti yang dipersoalkan itu, mengapa dia mendedahkan maklumat ini semasa tempoh kempen PRU14 dan sama ada dia dibayar untuk mendedahkan maklumat berkenaan. Bagaimanapun, Rizal mengelak semua soalan itu.

Walaupun enggan memberikan butiran lanjut, dia berulang kali berhenti untuk membiarkan gambarnya dirakam jurufoto akhbar.-Mkini

Tiada ulasan