Terkini

Jika gegar tak dirasa, tunggu tsunami datang menjelma

Oleh Izmil Amri

Bodohlah kalau kita percaya bahawa BN dan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menjangka bahawa satu lagi ombak besar akan membadai landskap politik negara kurang seminggu saja lagi.

Naif benarlah kita kalau ikut percaya bahawa Najib itu berkeyakinan tinggi untuk menang majoriti besar sehingga dua pertiga, sekaligus memperkukuh cengkamannya ke atas aparat kerajaan untuk sekurang-kurangnya lima atau 10 tahun lagi.

Kalau begitu tinggi sekali keyakinannya, November tahun lepas lagi kita sudah selesai mengundi, dan Umno-BN akan menang besar. Tidak perlu berlengah sehingga sekarang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, ilusi bahawa Najib itu yakin menang adalah propaganda yang dibikin untuk membuatkan kita semua teragak-agak untuk menukar parti pemerintah.

Tsunami yang disebut-sebut orang adalah perkara yang paling ‘real’ pada saat dan ketika ini. Kerana itu kita kerap mendengar Najib menafikannya.

Lapan tahun sekali

Sudah memang hobi Najib menafikan hakikat yang nyata, dan berdalih bertimpa-timpa.
‘Tsunami Melayu’ yang lambat 10 tahun itu akan membadai Najib dan aparat kempennya dalam keadaan ia langsung tidak sedar dari celah mana datangnya ombak perubahan itu.

Jangan tersilap. Umno dan BN boleh dikalahkan, dan akan pasti dikalahkan. Rakyat Malaysia akan berada di pihak yang menang setelah Umno ditumbangkan.

Kita boleh senaraikan beberapa petunjuk dan isyarat yang membuktikan bahawa United Malays National Organisation langsung tidak yakin mereka akan menang dalam PRU ke-14 ini.

Pertamanya, dengan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya. Ya, memang proses itu diperuntukkan undang-undang supaya dilaksanakan setiap lapan tahun sekali.

Apa yang menimbulkan keraguan kita ialah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain, selain perubahan sempadan yang berat sebelah, menumpukan suatu kaum di kawasan tertentu, dan kaum lain di kawasan yang sebaliknya.

Kalau BN yakin menang besar, ia tidak perlu beriya menunggu untuk sempadan pilihan raya dilukis semula.

Kedua, penggubalan Akta Antiberita Tidak Benar. Akta ini menerima kritikan hebat pengamal media, bukan sahaja aktivis politik pembangkang yang bergantung kepada maklumat-maklumat yang disembunyikan kebenarannya oleh kerajaan.

Ia antara lain digubal supaya kita semua takut-takut untuk menyebar maklumat yang tidak sehaluan dengan agenda parti kerajaan. Tetapi mereka yang menyebar propaganda bagi memberi kelebihan kepada kempen Umno, tidak mengapa pula.

Kalau BN yakin menang besar, ia tidak perlu menggubal akta aneh ini ketika ia bertindan dengan beberapa akta sedia ada. Bukankah media tradisional habis semua dikawalnya? Kalau Umno yakin boleh menang besar, ia tidak perlu runsing dengan sebaran maklumat parti pembangkang.

Mengundi di tengah minggu

Ketiga, adalah cubaan jahat membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam rangka besar untuk menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai sebuah parti politik.

Begitu banyak birokrasi untuk menyusahkan pendaftaran parti lawan, yang bukan baru sekali ini dilakukan oleh Umno-BN, bahkan pada PRU ke-13 lalu, ia telah dilakukan terhadap DAP.
Cuma untungnya, Jabatan Pendaftar Pertubuhan itu bukanlah organisasi yang bijak politik, lalu boleh dikilas dan dikunci pergerakannya di mahkamah.

Kalau BN yakin boleh menang, ia tidak perlu main bangsat dan cuba membatalkan pendaftaran parti lawan. Parti keris boleh berkeris secara jantan dan lawan secara berdepan.

Keempat ialah langkah Suruhanjaya Pilihan Raya menyusahkan rakyat keluar mengundi, selain merumitkan usaha kempen HARAPAN.

Sudahlah dipaksanya kita mengundi tengah minggu (pada Rabu), disuruhnya pula jangan meletakkan gambar selain calon dan presiden parti politik yang bertanding.

Peraturan baru ini jelas sekali bertujuan menghalang poster-poster calon di seluruh negara daripada memaparkan gambar calon perdana menteri HARAPAN, Tun Dr Mahathir.

Hakikatnya sepanjang tempoh kempen setakat ini, sudah berkali-kali kita temukan kejadian memotong atau memadam wajah mantan perdana menteri itu dari poster dan kain rentang kempen.

Gegaran akar umbi

Kalau BN yakin boleh menang besar, apa yang ditakutkan sangat dengan wajah orang tua berusia 92 tahun itu? Biar sajalah wajahnya tersengih dilihat pengundi.

Bukankah beliau hanya seorang tua yang tidak punya karisma tinggi jika dibanding dengan ketokohan Najib Razak?

Kelima, pastinya politik wang dan politik makan percuma yang telah menjadi amalan zaman-berzaman BN demi memujuk undi orang ramai.

Bukan sekali dua kita melihat di media sosial bagaimana operator politik BN menghulurkan ‘dedak’ kepada pengundi, bahkan sekarang secara tidak berselindung lagi. Tak cukup sampul barangkali.

Kalau Umno yakin boleh menang dua pertiga, pemberian wang tunai dan amalan memberi makan percuma itu boleh sahaja dihentikan. Tidak cukupkah pemberian BR1M bertahun-tahun untuk membeli kesetiaan dan sokongan rakyat?

Sebenarnya kalau Umno dan BN yakin betul akan menang besar dalam PRU ke-14 ini, Najib si perdana menteri sementara boleh sahaja mengajak calon perdana menteri HARAPAN untuk berdebat di kaca televisyen.

Biar satu Malaysia saksikan kehebatan hujah dan fakta oleh panglima Bugis yang menjadi idola mereka.

Kalau Umno dan BN yakin betul boleh menang dua pertiga Dewan Rakyat, ia tidak perlu takut-takut untuk memberi ruang menjawab kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang menjadi mangsa serangan kempen jahat di media massa.

Tetapi sebenarnya Umno tidak yakin ia boleh menang.

Umno dapat merasakan gegak-gempa rakyat Malaysia di peringkat akar umbi, dan mereka tahu bahawa tsunami yang bakal melanda sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Hari demi hari kita disajikan dengan paparan ceramah umum HARAPAN yang dibanjiri orang ramai. Kalau ini terjadi pada 2013, kita boleh faham; media sosial di waktu itu tidak begitu canggih.

Namun di zaman Facebook Live dan kempen Whatsapp, orang ramai masih sanggup bersusah payah turun ke lapangan, berjalan jauh dan berasak-asak untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan menunggu - Pakatan Harapan.

Semalam Merdeka Center muncul dengan angka-angka terbaru bacaan politik mereka yang memperlihatkan peratusan sokongan terhadap HARAPAN semakin meningkat tinggi.
Maka sekarang kita hanya perlu tunggu keputusan rakyat Malaysia. Tidak lama, hanya kurang seminggu lagi.


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Tiada ulasan