Terkini

Jangan biar rakyat gusar, pada HARAPAN - Mufti Perlis

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa kerajaan baru menyelesaikan isu yang berbangkit di kalangan mereka tanpa mencetuskan kerisauan rakyat.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya dengan rendah diri ingin memberi pandangan kepada parti dalam kerajaan baru agar menyelesaikan masalah mereka secara teratur dan tidak menimbulkan kegusaran rakyat,

"Apalah ertinya pengorbanan rakyat mewujudkan kerajaan baru yang diharap dapat mengembalikan urus tadbir yang baik, tetapi tiba-tiba muncul berita yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak yakin di kalangan rakyat," katanya di Facebook.

Kenyataan itu sehari selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad melantik tiga menteri utama tanpa berunding dengan PKR.

Tiga pelantikan itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.

Kenyataan Rafizi mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya tidak senang dengan bantahan terbuka itu.

Mohd Asri menyifatkan cara penyelesaian masalah seperti itu sebagai tindakan kurang bijak dan bukan apa yang diharapkan oleh rakyat.

"Politik bijak dan berhikmah akan melahirkan pendekatan yang bijaksana dan meyakinkan. Proses pembaharuan menuntut kesungguhan, kebijaksanaan dan kesabaran," katanya.

Namun terdapat yang mempertahankan Rafizi termasuk Tan Sri Rais Yatim yang meminta Pakatan Harapan tidak mengambil remeh teguran itu.

Anggota Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR pula berkata tindakan Rafizi bagi memastikan pentadbiran Mahathir tidak bermula dengan langkah yang salah.

"Sikap tidak mempersoalkan autoriti yang tidak sihat inilah punca utama mengapa kita membenarkan (Datuk Seri) Najib dan (Datin Seri) Rosmah memerintah kita selama sembilan tahun," kata Wong.

Tiada ulasan