Terkini

HARAPAN menang tipis, PAS kalah teruk, ramal Invoke

Tinjauan Invoke Malaysia meramalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membentuk kerajaan persekutuan yang akan datang dengan majoriti mudah berdasarkan hasil pemodelan kecenderungan pengundi terbaru dan hasil kajian untuk Semenanjung Malaysia.

Kumpulan itu juga meramalkan PAS tidak akan menang waima satu kerusi pun - negeri dan parlimen - di seluruh Semenanjung Malaysia.

BN dijangka menang hanya di Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta hanya mendapat 54 kerusi parlimen. Manakala HARAPAN pula berjaya memenangi 111 HARAPAN.

Kaji selidik itu melibatkan 11,991 responden, yang dipilih melalui persampelan secara rambang dan ditimbang mengikut populasi bagi setiap negeri.
Data tersebut disiapkan pada Khamis lalu.

Pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli menjelaskan tinjauan terbaru mendapati sokongan Melayu kepada HARAPAN telah berkembang dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan sokongan Melayu kepada BN telah terhakis.

Sebaliknya, kata Rafizi sokongan PAS di seluruh negara dianggarkan stabil pada 27 peratus.

Beliau berkata selain Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan, sokongan Melayu kepada HARAPAN berada di belakang BN, sekitar 3.5 peratus ke 13.1 peratus.

Memandangkan jangkaan sokongan bukan Melayu yang tinggi untuk HARAPAN, Rafizi berkata ini akan membantu kemenangan di kebanyakan 90 kerusi parlimen campuran etnik manakala 35 kerusi majoriti bukan Melayu sudah berada dalam genggaman HARAPAN.

"Saya perlu membawa perspektif pembezaan undi. Bagi menghasilkan keputusan yang dicapai BN pada PRU lepas, BN mempunyai kelebihan 30 peratus berbanding Pakatan Rakyat daripada segi sokongan orang Melayu.

"Perhatikan perbezaan sekarang, tidak ada satu negeri pun yang menunjukkan sokongan BN melebihi 20 peratus," katanya yang berkata ramalan Invoke bukan mengikut perasaan tetapi berdasarkan model persampelan data.

Tiada ulasan