Terkini

Faiz kenang usaha bapa kekang amalan takfiri dalam PAS

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkata amalan takfiri dalam PAS berjaya dikawal ke tahap sederhana semasa bapanya menjadi presiden PAS suatu ketika dulu.

Bercakap kepada media di Pokok Sena hari ini Faiz berkata semasa hayatnya Allahyarham Datuk Fadzil Noor berusaha gigih membawa PAS ke haluan sederhana.

"Dia membawa PAS daripada aliran konservatif kepada moderate," katanya.

Faiz - setakat ini satu-satunya anak Fadzil yang menyertai politik secara langsung dan aktif - menjelaskan suatu ketika dulu wujud amalan takfiri (mudah mengkafirkan orang lain yang tidak sehaluan) dalam PAS namun berjaya dikawal.

"Agenda parti ketika itu ialah membawa PAS ke tahap lebih tinggi supaya diterima oleh semua orang Malaysia tanpa mengira kaum," katanya.

Faiz ditemui media semasa menunggu kedatangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual melawat pusara bapanya di Pokok Sena petang tadi.

Menarik sokongan ramai

Fadzil ialah seorang ahli akademik yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia sebelum terbabit secara langsung dalam politik kepartian.

Beliau dilantik menjadi presiden PAS mulai 1989 menggantikan Allahyarham Yusuf Abdullah ar-Rawa. Pelantikan itu juga menyaksikan jawatan timbalan presiden diisi Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Fadzil banyak dikenang sebagai salah seorang tenaga penting dan antara yang terawal menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dia dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Bagaimanapun untuk rekod kedua-dua mereka memang berkawan baik semasa aktif dalam pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Anwar kemudian menyertai Umno manakala Fadzil memilih PAS sebagai wadah politiknya.
Fadzil pernah menjadi ketua pembangkang di parlimen pada suatu ketika. Beliau meninggal dunia pada 23 Julai 2002.

PAS menunjukkan perubahan pendekatan secara ketara pada 2015 apabila golongan profesional dan sederhana disingkirkan daripada barisan kepimpinan pusat melalui pemilihan parti di Kuala Selangor.
Faiz adalah seorang daripada watak yang menonjol cuba mempertahankan perubahan yang cuba dibawa kumpulan ustaz dalam PAS.

Selepas disingkirkan sekumpulan tokoh PAS kemudian menubuhkan AMANAH dan Faiz menyertainya tidak lama kemudian.

Kenyataan Faiz itu dibuat ketika orang ramai menyaksikan bagaimana sesetengah penyokong PAS bersikap keras dengan mengecam serta mengeji individu yang meninggalkan parti itu.

Antaranya anak kedua Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar, yang bertanding sebagai calon Pakatan Harapan di Chempaka, Kelantan.

Kata Faiz PAS pada zaman dipimpin bapanya berjaya menarik sokongan ramai.

"Dan itulah yang sedang kami bawa dalam AMANAH sekarang," katanya yang kini giat berkempen sebagai calon HARAPAN di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tiada ulasan