Terkini

Bn Dan Nik Omar

Oleh Mohd Sayuti Omar

PETANG semalam semasa menyerah sebahagian poster pilihan raya Nik Omar kepada petugas parti PH di Hulu Kelang, sebelumnya saya sempat berjumpa dengan dua orang anak muda yang akan mengundi buat pertama kali dalam Piraum ke 14 di sebuah restoran mamak.

Mereka meminta untuk berjumpa dan minum kopi dengan saya. Saya faham kenapa mereka ingin berjumpa kerana ingin mendapat penjelasan atau cerita mengenai pilihan raya. Ingin mendapat tip untuk mengundi? Saya berbangga dengan sikap mereka berdua kerana ambil berat kepada politik.

Ada dua isu yang disebut atau ingin diketahui dalam pertemuan itu. Pertama, kedudukan PH secara keseluruhan buat masa ini, terutama di Kelantan. Kedua ialah mengenai hal Nik Omar yang “very popular” kini, dan menjadi topik pertuturan umum, sehinggakan menjadi perhatian Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Mengenai keadaan atau peluang PH, saya menjelaskan begini sahaja. Saat ini arus perubahan sedang berlaku. Semua orang inginkan kepada perubahan dan ingin tukar sesuatu yang lama, berdebu kepada yang baru bersinar. Arus perubahan kini sedang berlaku, namun tidak begitu jelas sebab ia bergerak dan berputar dari bawah.

Saya menganalogikan BN sebagai benda (kerajaan) lama, yang orang semua sudah memahami dan tahu serba serbi tentangnya.

Orang yang hidup lebih 60 tahun cukup memahami suka duka dengan BN, buruk dan baiknya. Jadi kerana kebanyakan sudah merasai, maka wujud dalam hati ingin menukarnya. Ada yang bertindak begitu kerana cemuh mual dan ingin merasai dan melihat sesuatu yang baru.

Kalau diibaratkan BN seperti makanan ia adalah makanan asasi seperti nasi atau ubi kayu. Sejak mula lahir hingga kini kita sudah disuakan dengan makanan itu. Kalau ubi kayu sejak zaman Jepun lagi.

Era sudah berubah dan dunia menjadi semakin canggih. Kini sudah ada resipi atau jenis-jenis makanan baru yang dihasilkan secara teknologi, ada spagheti, burger, sosej dan sebagainya. Maggi juga sejenis makanan baru, berbanding ubi kayu dan nasi, tetapi orang juga mulai mencemuhinya kerana meragui akan kualitinya dan kesan sampingannya. Maggi itu ialah Pas lah.

Jadi orang kini mahu mencuba malahan setengahnya sudah biasa dengan makanan bentuk baru itu dan perlahan-lahan sudah melupai maggi yang hebat itu.

Bagi anak-anak muda mereka lebih kedepan dalam evolusi ini apa lagi semua itu muncul di zamannya. Anak muda akan bergerak mengikut trend dan hidup mereka penuh trendy dan stylish.

Jadi fenomena ini juga akan mempengaruhi mereka dalam membuat pilihan atau berpolitik.

Trend hari ini orang mahukan perubahan, mahu meninggalkan ubi kayu dan nasi nan mencemuhkan dan ingin mengecapi makanan baru. Trend hari ini juga orang ingin membuang maggie perlahan-lahan kerana ia mempunyai kesan sampingan membimbangkan. Dari sudut trend atau situasi ini BN adalah sebuah parti yang old style.

II.
Kedua mengenai Nik Omar, salah seorang bertanya saya sejauh mana benarnya, mengatakan Nik Omar tidak balik rumah sejak sebelum penamaan calon lagi.

Saya tidak mengetahui pergerakan beliau seratus peratus. Cuma saya menjawabnya, kalau kita menerima Nik Omar sebagai seorang berakhlak mulia, cukup dengan mentafsirkan senyumannya, atau pekertinya yang mendoakan adiknya berjaya walaupun sang adik mengejinya(?), masakan dia boleh melupai ibunya?

Saya tidak fikir begitu. Saya juga tidak terlintas dalam benak yang ibunya mendiskriminasikan dia. Seperti mana Nik Abduh dan lapan anak-anaknya yang lain, bagaimana Tuan Sabariah sakit ketika melahirkan mereka, maka kepedihan yang sama juga dirasai sewaktu melahirkan Nik Omar 53 tahun lampau.

Tetapi malam tadi dalam ceramahnya di Kadok, Nik Omar mengakui sendiri bahawa selepas penamaan calon dia balik dan berjumpa dengan bondanya. Kata-kata yang terluah dari mulut seorang berhati mulia, berakhlak jilan, menyembunyikan sedih dalam senyum, saya tidak kira dia cakap bohong atau pun belawak. Walahu’alam. Trims.-https://msomelayu.blogspot.my

Tiada ulasan