Terkini

Adakah ahli keluar PAS akan rosak akidah, soal Husam

KUBANG KERIAN: Datuk Husam Musa berkata, tindakan pemimpin PAS menyerang anak bekas mursyidul amnya, Nik Omar Nik Abdul Aziz, bertanding atas tiket PKR akan membawa kesan negatif kepada parti Islam itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu turut membidas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya keterlaluan kerana menyamakan Nik Omar seperti anak Nabi Nuh yang berpaling daripada ayahnya.

“Sekarang adalah pilihan raya umum, jadi apa kaitan akidah anak Nabi Nuh yang turun dari kapal kerana tidak mengaku kewujudan Allah (dengan Nik Omar)?

“Jangan politik sehingga tahap itu, menyalahgunakan fatwa politik. Sebab itu kita nak tukar kerajaan kepada kerajaan baik atas dasar Islam.

“Tidak sepatutnya menganggap Nik Omar seperti anak Nabi Nuh. Adakah kita keluar daripada PAS akan rosak akidah? Siapa berani kata begitu? Kalau macam itu, Arab Saudi yang tiada PAS, punah habislah akidah,” katanya pada ceramah di Mulong, malam tadi.

Nik Omar membuat kejutan pada hari penamaan calon di Kelantan apabila muncul mengemukakan borang pencalonannya untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sebagai calon Amanah, menggunakan logo PKR.

Nik Omar yang dipecat keahlian serta-merta kerana melanggar perlembagaan PAS apabila bertanding sebagai calon PKR, akan menentang penyandang, Ahmad Fathan Mahmod dari PAS dan calon BN, Mohamad Fareez Noor Amran.

Kerusi DUN Chempaka adalah kubu kuat PAS yang pernah disandang bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejak pilihan raya umum ke-9 pada 1995.

Husam berkata, PAS sepatutnya memilih Nik Omar sebagai calon, kerana Nik Aziz bukan mempunyai seorang anak sahaja, iaitu Nik Abduh.

“Nasib baik juga PAS tidak ambil (Nik Omar sebagai calon), kalau tidak saya terpaksa masuk PAS semula.

“Pemimpin PAS ini sudah terlebih zaman. Apa salahnya Nik Omar bertanding kerana ini adalah pilihan raya yang demokratik.

“Sebab itu saya tunggu pengumuman PAS terlebih dahulu mengenai tempat Nik Abduh bertanding supaya saya boleh letak Nik Omar bukan di tempat sama,” katanya.

Tiada ulasan