Terkini

Wajarkah JASA diyakini lepas Umno tak percaya Puad?

Keputusan BN tidak memilih Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai salah seorang calon mereka dalam PRU ke-14 ini turut menghantar mesej yang lain.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times (NST) Mustapha Kamil Mohd Janor berkata tanpa menyertakan nama Datuk Dr Puad Zarkashi sebagai salah satu calon Umno, itu menunjukkan Umno sendiri tidak yakin kepada kebolehan tokoh berkenaan.

Justeru katanya jika Umno sendiri berasa ragu kepada Puad, perlukah masyarakat percaya kepada penjelasan dibuat JASA mengenai isu-isu semasa yang melibatkan negara.

"Jika Umno sendiri tidak yakin pada kebolehan ketua propaganda kerajaan itu di kawasan Batu Pahat, haruskah kita yakin akan penerangan-penerangan JASA ini tentang perkara-perkara yang melibatkan seluruh Malaysia?

"Ke hulu ke hilir selama ini JASA mempertahankan 'kesucian' 1MDB misalnya," katanya dalam satu status dimuat naik di Facebook hari ini.

Puad ialah seorang tokoh kanan dalam Umno yang pernah diberi kepercayaan sebagai timbalan menteri pelajaran sebelum tewas di Batu Pahat dalam PRU ke-13 lima tahun lalu.

Banyak serang Mahathir

Puad dikalahkan calon PKR Datuk Idris Jusi dengan kelebihan 1,732 undi. Untuk rekod pada PRU ke-12 Puad mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 12,968 undi.

Selepas kalah beliau dilantik mengetuai JASA sebagai ketua pengarah. Jabatan itu terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Walaupun kini menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian Batu Pahat nama Puad tercicir daripada calon parti itu.

Apabila PRU ke-13 berlangsung pada 9 Mei ini nama calon mewakili BN di Batu Pahat ialah ketua wanita Umno bahagian itu, Haliza Abdullah.

JASA - melalui Puad dan pegawainya - banyak mempertahankan kerajaan Datuk Seri Najib Razak dalam isu-isu semasa. Selain mengenai 1MDB mereka juga gigih menyerang pembangkang terutama bekas presiden Umno sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu Mustapha Kamil juga mengulas mengenai serangan disasarkan BN terhadap Dr Mahathir.

Kumpulan bungkor bekerja

Katanya BN kelihatan sangat gerun kepada bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dan memainkan isu usia dan kemampuannya bekerja dalam tempoh lama.

"Berkerja 24 jam ini bukan semestinya bermakna rajin atau bertenaga. Ia juga boleh membawa makna sama da ia bodoh dalam mentadbir masanya, atau memang bodoh dari segenap segi.

"Tapi itulah. Dipadamkan segala sejarah yang dicatit orang tua itu kononnya supaya generasi kini tidak tahu siapa dia," katanya.

Mustapha Kamil juga berkata BN boleh 'memadamkan' sumbangan dan jasa dicurahkan Dr Mahathir selama ini dan dituduh sebaga punca segala masalah dialami negara.

Kini kata Mustapha Kamil gambar Dr Mahathir juga 'digeruni' sehingga ia tidak disiarkan di media massa kecuali dalam bentuk negatif.

"Berjayakah kerja-kerja kumpulan bungkor (bodoh) ini? Nampaknya tidak.

"Ramai yang tak perlu tengok gambar orang tua itu lagi kerana wajahnya dan jasanya ada terpahat dalam ingatan mereka.

"Letaklah sederetan gambar pendekar di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan itu dengan kata-kata Hebatkan Negaraku sekalipun, tapi yang banyak didengar tetap: Alah... lebuh raya itu pun orang tua itu yang buat".



















Tiada ulasan