Terkini

Tidak akan ada pertukaran calon


BAGAN DATUK - BN mengesahkan tidak akan ada pembatalan watikah pelantikan calon-calon parti berkenaan di semua kerusi parlimen dan Dun yang ditanding walaupun terdapat desakan dari pelbagai pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua watikah pelantikan sudah diserahkan kepada bakal-bakal calon yang telah dimuktamadkan oleh Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setakat ini melalui perbincangan dengan PM memang ada desakan namun sebagaimana saya nyatakan nama-nama calon itu telah dimuktamadkan 100 peratus dan watikah ditandatangani serta diserahkan kepada bakal-bakal calon yang diumumkan.

“Walaupun terdapat usaha beberapa individu dan kumpulan-kumpulan terus melobi dan mendesak supaya pertukaran dilakukan PM telah memuktamadkan sepenuhnya nama-nama berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Waterfront Bagan Datuk, pagi tadi.

Ahmad Zahid juga turut menasihatkan  semua calon BN yang terpilih agar mengambil usaha mendekati individu yang tidak dicalonkan bersama jentera mereka.

“Waktu sama kita (calon BN) perlu ketahui ramai lagi yang mengharapkan untuk dapat tempat dan ramai penyokong-penyokong yang mengharapkan calon-calon mereka dipilih.

“Kita harus ketahui bahawa usaha untuk mendekati mereka yang tidak dicalonkan itu perlu dilakukan oleh calon-calon itu sendiri bersama jentera dan jangan ada perasaan untuk merendahkan apatah lagi sesuatu yang negatif terhadap mereka yang tidak berjaya atau tidak disambung sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, sudah menjadi satu kelaziman dalam mana-mana parti politik akan berlaku tidak puas hati dalam senarai calon, namun perkara itu perlu dihadapi dengan hati terbuka dan berlapang dada.

“Kita (BN) memilih yang terbaik dari mereka yang baik-baik sama seperti yang dilakukan pembangkang juga.

“Jadi mereka yang mahu jadi calon bebas ini tidak kira dari parti komponen atau Umno sendiri harus ketahui dalam perlembagaan dan peraturan parti menetapkan secara automatik akan terkeluar daripada hak keahlian apabila mereka bertindak menjadi calon bebas,” katanya.

Tiada ulasan