Terkini

Tanda tanya PAS tak letak calon di kerusi KM Melaka

PAS kelihatan bersungguh-sungguh di Melaka bertanding di setiap kerusi majoriti Melayu atau kerusi campuran di negeri itu.

Walau bagaimanapun, keputusan PAS untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, yang terdiri daripada 80 peratus pengundi Melayu, telah menimbulkan rasa ingin tahu, malahan daripada ketua menteri sementara Melaka itu sendiri.

Ketika ditanya mengenai hal ini, Idris berkata beliau juga ingin mendapatkan penjelasan daripada PAS.

"Saya berpeluang mendapatkan jawapan daripada mereka sebentar tadi dan mereka kata mereka menghormati kerusi itu dan mereka tidak mempunyai kekuatan di DUN itu berbanding dengan PKR," katanya.

Idris yang mempertahankan kerusi tersebut berterima kasih kepada PAS kerana tidak mencabarnya.

"Mestilah, saya berterima kasih dan terhutang budi kepada mereka dan saya tidak akan kecewakan mereka di Sungai Udang," katanya.

Selain DUN Sungai Udang, empat kerusi lain yang tidak ditandingi PAS di Melaka merupakan kubu kuat DAP dengan majoriti besar pengundi Cina.

Kerusi tersebut ialah parlimen Kota Melaka dan tiga kerusi DUN, iaitu Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

PAS akan bertanding di dua kerusi DUN di bawah parlimen Kota Melaka, iaitu Duyong dan Telok Mas, yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

Pada pilihan raya umum lepas, Idris menang besar di Sungai Udang mendapat 12,145 undi berbanding 3,009 undi untuk PKR.

Tiada ulasan