Terkini

Rajuk dan rasuk menjelang PRU14

Oleh

PADA dasarnya semua parti politik telah pun meng-umumkan nama-nama calon dalam PRU14 ini. Sedia ketahui bahawa hanya seorang saja yang akan dicalonkan oleh mana-mana parti politik sebagai wakil yang akan bertanding. Hanya yang terbaik daripada barisan yang disenaraikan akan diumumkan sebagai calon.

Maka pada masa kini akan ada insan yang merajuk kerana tidak dicalonkan. Malah yang dahsyat lagi wujud pula insan yang 'merasuk', marah dan sanggup melawan ketetapan dan keputusan parti politik mereka sendiri. Sebenarnya adegan rajuk dan rasuk terdiri daripada pemimpin di peringkat bahagian, cawangan, cabang dan apa jua namanya dalam sesebuah parti politik.

Di sana sini kedengaran beberapa pemimpin disingkirkan, diambil tindakan parti, dipecat dan akan dihadapkan ke lembaga disiplin parti kerana ingkar dengan arahan pemimpin atasan. Malah sanggup keluar parti dan berjuang dan mencalonkan diri atas nama calon bebas, untuk memuaskan hati pemimpin sebegini.

Dahsyatnya penangan pilihan raya. Pada saat-saat akhir masih lagi bertelagah, bercanggah dan berbalah kerana mahukan nama-nama tertentu dicalonkan, tetapi tidak diendahkan. Terserlahlah kem-kem dalaman yang mempunyai soldadu masing-masing yang ditentukan oleh pemimpin atasan. Mana-mana yang dirasakan akan mampu 'mencantas' dalam pertandingan parti masa akan datang akan dicaras dengan tidak mencalonkan nama mereka dalam PRU.

Lebih menyedihkan lagi, dalam sibuk kita bergelut dengan pilihan raya umum, sesetengah pemimpin mencatur untuk memastikan kedudukan dalaman parti yang akan menyusul selepas PRU nanti.
Sebagai ketua di peringkat bahagian atau cabang, inilah masanya untuk melenyapkan pesaing dengan tidak lagi mencalonkan Yang Berhormat (YB) sedia ada. Inilah hakikat politik kita.

Maka terserlah warna sebenar kem-kem dalam parti-parti politik. Terjemah juga watak pemimpin yang kelihatan berjiwa budiman tetapi melatah apabila tidak dicalonkan. Yang mencanang di sana sini agar terus taat pada parti sebelum ini, tetapi terkena hidung sendiri apabila tidak tercalon, melatah dan meroyan hingga sanggup menjadi musuh dan keluar parti. Betullah budak-budak kecil pun selalu kata “cakap tak serupa bikin”.

Namun sesetengah kes agak unik. Dek kerana menggunakan pendekatan status quo, ada juga pemimpin yang sudah lebih tiga penggal masih lagi dicalonkan. Rakyat setempat pun dah bosan. Dek kerana sebagai ketua, pemimpin ini akan meletakkan namanya sendiri untuk terus dicalonkan.

Walhal ramai calon dan muka baharu menanti dan layak sebagai pengganti. Mereka yang profesional, berkelulusan tinggi, anak tempatan dan disukai serta calon boleh menang masih lagi tidak mendapat perhatian dan tempat. Mungkin mereka yang begini layak untuk merajuk.

Beberapa kes yang diamati adalah rajuk datang daripada wakil rakyat yang sedia ada. Tiba-tiba nama mereka tidak dicalonkan lagi tanpa memberi sebarang alasan. Juga sesetengahnya tiada notis dan rundingan. Kes seperti ini agak ketara kerana ingin menukarkan muka-muka baharu yang difikirkan lebih segar dan disukai.

Ini menyebabkan mereka yang berkenaan bukan lagi merajuk, melenting malah menjeruk dan melarikan diri keluar negara ingin mencari ketenangan. Tanpa lagi membantu, atau menyokong calon baharu. Sedangkan mereka ini juga merampas kedudukan pemimpin senior ketika dicalonkan buat kali pertama dulu. Sedih dengan pemimpin begini yang hanya mementingkan diri sendiri.

 Kisah pemimpin merajuk dan merasuk perlu ditangani. Istilah cah keting masih lagi bermaharajalela.
Masih menebal dalam politik Malaysia. Adakah menjadi calon adalah segala-galanya dalam perjuangan parti politik? Maka di mana kesetiaan atau wala’ yang diuar-uarkan selama ini? Di mana pula istilah sanggup berkorban apa sahaja demi parti politik yang disanjung selama ini?.

Sepatutnya kita perlu berlapang dada dan reda dengan ketentuan bahawa mungkin bukan rezeki. Mungkin masa akan datang! Maka teruskan perjuangan dan jangan berputus asa. Terus membantu parti dan berkhidmatlah kepada masyarakat walaupun anda bukan YB.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan InformasiFakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

Tiada ulasan