Terkini

MB, usah jaga tepi kain kami — PH Johor

Amaran Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin agar rakyat Johor tidak 'bereksperimen' untuk memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru negeri ini pasca PRU14 hanyalah menzahirkan sikap tidak yakin beliau terhadap kemampuan Barisan Nasional (BN).

Meminjam istilah digunakan Khaled sendiri, kebimbangan beliau memiliki asasnya lantaran rakyat di Pulau Pinang dan Selangor telah terbukti amat berpuas hati sewaktu mereka 'bereksperimen' memilih Pakatan dalam PRU 2008. Bahkan, sokongan mereka meningkat lagi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Untuk rekod, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada PRU 2008. Di Selangor pula, Pakatan Harapan menang selesa dengan 34 kerusi DUN berbanding BN 22 kerusi.

Di peringkat persekutuan pula, Pakatan telah memenangi sembilan parlimen daripada keseluruhan 13 kerusi di Pulau Pinang manakala 16 parlimen daripada keseluruhan 22 kerusi di Selangor.

Selepas lima tahun pentadbiran, kita dapat menyaksikan peningkatan sokongan rakyat kepada Pakatan. Di Pulau Pinang, Pakatan memenangi 30 kerusi DUN manakala 44 kerusi DUN di Selangor dalam PRU13.

Sebenarnya, peningkatan sokongan rakyat ini juga telah berlaku di Johor. Dari satu kerusi parlimen, Pakatan berjaya mendapat tiga lagi kerusi tambahan manakala dari enam kerusi DUN telah bertambah menjadi 18 kerusi pasca PRU 2013.

Justeru, sememangnya wajar bagi Khaled untuk berasa tergugat dengan kemaraan rakyat yang mahukan perubahan menjelang PRU14 ini.

Pun begitu, Pakatan Harapan Johor ingin menasihatkan Khaled agar memberikan perhatian yang lebih terhadap survival politik beliau sendiri. Usah 'jaga tepi kain orang', anda sendiri belum tentu selamat.

Tindakan Khaled yang mahu bertanding di dua kerusi dalam PRU14, masing-masing di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas menimbulkan satu tanda tanya.

Apakah ada gerakan tersusun oleh BN yang mahu menamatkan riwayat politik Khaled selepas sepenggal 'bereksperimen' mengangkat beliau sebagai menteri besar Johor?

* Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (pengerusi Pakatan Harapan Johor), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (pengerusi PPBM Johor), Aminolhuda Hassan (pengerusi Amanah Johor), Hassan Karim (pengerusi PKR Johor) dan Liew Chin Tong (pengerusi DAP Johor).

Tiada ulasan