Terkini

Mahkamah tentukan Khamis ini kebenaran cabar status Umno

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 26 April ini bagi mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman oleh 16 ahli Umno yang mempersoalkan keesahan parti mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut menyatakan beliau tidak sangka kes itu dipercepatkan memandangkan ia bukan difailkan di bawah tindakan segera.

Jumaat lalu, 16 ahli Umno memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.

Kumpulan yang kemudiannya dipecat dari parti itu mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.

“Di bawah perlembagaan kami, pemilihan parti hanya boleh dilanjutkan sehingga 54 bulan,” katanya sambil menambah pemilihan Umno terakhir diadakan pada Oktober 2013.

Pemilihan seterusnya sepatutnya diadakan pada Oktober 2016, kerana Umno harus mengadakan pemilihan untuk cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi setiap 3 tahun

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi memutuskan untuk menangguh pemilihan itu buat 18 bulan lagi.

Mereka mendakwa tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penangguhan pemilihan parti, sebagai menafikan hak mereka untuk memilih pemimpin.

Kumpulan diketuai Ketua Umno Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid, itu memohon perintah mahkamah mengisytiharkan kelulusan JPPM itu sebagai tidak sah.

Mereka juga perintah mahkamah agar JPPM menyiasat Umno atas dakwaan melanggar perlembagaan sendiri dan satu lagi perintah untuk menggantung operasi parti sementara menunggu kes itu selesai.
Mereka turut memohon mahkamah memerintahkan Umno dibubarkan mulai hari ini kerana mendakwa parti itu kini “haram”.

JPPM dan Setiausaha Eksekutif Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh dinamakan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 1987, 11 ahli Umno ke mahkamah susulan perbalahan dalam parti. Mahkamah Tinggi memutuskan Umno tidak sah kerana pemilihan yang tidak kena di satu cawangan. Parti baru kemudiannya didaftarkan dengan nama Umno Baru.

Pada pemilihan parti yang terakhir, Najib sebagai presiden Umno, dan bekas timbalannya, Tan Sri Muhyddin Yassin memenangi jawatan tertinggi tanpa bertanding

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memenangi 3 jawatan tertinggi naib presiden itu.

Bagaimanapun, pada 2016, Muhyiddin dibuang daripada Umno, dan Shafie pula keluar parti. Mereka kini pemimpin pembangkang dan bakal bertanding di Johor dan Sabah pada PRU14.

Tiada ulasan