Terkini

Dr M jawab DCA, pertahan pesawat disabotaj

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan dakwaannya bahawa pesawat terbang yang disewa khas kelmarin telah disabotaj bagi menghalangnya untuk hadir ke pusat penamaan calon, semalam.

Dr Mahathir turut berkata, kerosakan serius pada roda hadapan pesawat itu turut diakui oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan lembaga itu, semalam.

“Hari ni CAAM anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tak tuduh CAAM, saya cuma nak nyatakan apa yang berlaku yang diakui oleh CAAM sendiri.

“CAAM tahu pesawat itu tak dapat terbang apakah dia disebabkan sabotaj ataupun tidak, tidak boleh ditentukan oleh CAAM sebelum siasatan tapi saya anggap perkara itu sengaja dibuat kerana ada niat untuk menghalang saya jadi calon di Langkawi,” kata bekas perdana menteri itu  dalam ucapannya di Dewan Ho Peng, Kuah, Langkawi malam tadi.

Semalam CAAM menerusi kenyataannya menafikan pesawat persendirian yang disewa khas oleh Dr Mahathir tidak disabotaj sebaliknya mengalami 'masalah teknikal'.

"Kapal terbang itu tidak dapat diterbangkan kerana masalah kecil dan masalah teknikal, termasuklah kebocoran udara dari tayar kiri," kata Pengerusi CAAM Azharuddin A Rahman.

Azharuddin turut mengkritik dakwaan yang dikeluarkan Dr Mahathir yang menurutnya boleh menjejaskan reputasi penerbangan di Malaysia.

Bercakap dihadapan 600 hadirin, calon parlimen Langkawi itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak lain yang telah dimaklumkan awal berkaitan kejadian tersebut.

Amaran tak pinjamkan pesawat

Katanya beliau cuba menghubungi tiga rakannya untuk meminjam pesawat ke Langkawi namun salah seorang darinya memaklumkan telah diberi amaran untuk tidak meminjamkannya kepada beliau.

“Nampak seolah-olah ada pihak yang tahu kecederaan (kerosakan) pada pesawat saya itu dan menentukan tidak ada pesawat lain yang boleh saya pinjam, supaya saya dapat terbang ke Langkawi untuk hadir ke penamaan calon,” katanya.

Sementara itu berhubung lima wakil calon yang dibatalkan pencalonannya dalam penamaan calon semalam, Dr Mahathir berkata pihaknya akan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Tak tentu sebab ada calon HARAPAN yang dihalang dari mendaftar sebagai calon HARAPAN. Kita dapati sebab tak berasas dan kita akan tentukan untuk bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Lima calon HARAPAN itu adalah Tian Chua (PKR) di parlimen Batu, Pizi Jihat (BERSATU) di DUN Bukit Pasir, Yaakob Osman (BERSATU) Di DUN Penaga, Mohd Azihan Che Seman (PKR) di DUN Tawang, dan Mohd Hafidz Amran (PKR) di DUN Kuala Balah.

Tiada ulasan