Terkini

'Calon tak jadi' PKR dakwa tidak diberi pas SPR

KUALA LUMPUR: Dr S. Streram yang gagal menyerahkan borang pencalonan sehingga menyebabkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, menegaskan dia tidak diberikan pas calon.

Jelasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah berjanji untuk memberikan pas kepadanya selepas dia terlambat mengambilnya pada Jumaat lalu.

"Saya tidak diberikan pas. Malah, saya telah diberitahu pada 24 April lalu oleh rakan saya bahawa kami perlu mendapatkan pas berkenaan sebelum jam 5 petang pada Jumaat.
"Apabila kami tiba di pejabat SPR Rembau pada jam 6.45 petang Jumaat, pejabat telah tutup dan seorang wanita di sana memberitahu kami dia akan memberikan pas berkenaan pada Sabtu pagi, iaitu pada hari penamaan calon.

"Apabila kami sampai pagi itu, mereka (SPR) beritahu mereka akan dapatkan untuk saya," katanya dalam sidang media yang dianjurkan Bersih 2.0 hari ini.

Tetapi, menurut Streram, beliau tetap tidak menerima pas calon SPR pada hari penamaan.

"Pada jam 9.42 pagi, seorang pegawai SPR datang menemui saya. Saya ingatkan dia mahu mengiringi saya ke tempat penamaan tetapi tidak. Mereka hanya datang menemui saya semula selepas penamaan ditutup. Saya mula sedar saya tidak dapat serah borang pencalonan apabila SPR mengumumkan tiada calon lain yang muncul," tambahnya.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana telah melengkapkan semua permohonan pencalonan termasuk membayar deposit RM5,000.

"Semasa hari penamaan calon, saya tidak dibenarkan masuk ke dewan penamaan. Saya telah menjelaskan yang saya adalah calon dan menunjukkan semua dokumen, namun saya masih tidak dibenarkan masuk," ujarnya.

Susulan itu, BN peroleh kemenangan pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 apabila Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau tanpa bertanding.

Tiada ulasan