Terkini

Bukan senang PAS berdepan Khalid, kata penganalisis

PETALING JAYA: Penganalisis politik meragui kemampuan PAS memenangi kerusi Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, walaupun ia menang selesa pada PRU lalu menerusi Khalid Samad yang kini bersama Amanah.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata PAS akan hadapi laluan sukar untuk merampas Shah Alam daripada penyandang 2 penggalnya itu.

Beliau berkata, Shah Alam akan menjadi kayu ukur pengaruh PAS di kawasan bandar dengan majoriti kelas menengah Melayu.

“Tetapi Khalid bukan calang-calang pesaing,” katanya , dan menyebut ketokohan beliaulah yang memungkinkan parti Islam itu menang di kerusi tersebut pada 2008.

“Sebelum ini persaingannya ialah antara Umno dan PAS, dan PAS muncul pemenang sejak 2008,” katanya.

“Tetapi sekarang PAS bukan sahaja perlu berdepan dengan Umno, tetapi juga Khalid.”
Pada 2013, Barisan Nasional menampilkan peguam Datuk Zulkifli Nordin untuk mencabar Khalid, ketika itu mewakili PAS.

Kali ini, PAS mengetengahkan pengarah penyelidikan parti itu Zuhdi Marzuki.
BN belum menetapkan calonnya, tetapi ramai menjangka ketua Umno Shah Alam, Azhari Shaari akan dipilih.

Awang Azman berkata, Umno mungkin telah hilang 30% daripada sokongannya di Shah Alam berikutan perpecahan yang berlaku di sebalik kemunculan PPBM.

Khalid pertama kali bertanding di Shah Alam pada 2004, tetapi kalah di tangan calon BN, Abdul Aziz Shamsuddin.

Pada 2008 beliau mengalahkan Aziz dengan majoriti lebih 9,000 undi yang mewakili lebih 57% undi. Pada 2013, beliau menewaskan Zulkifli dengan majoriti hampir 11,000 undi.

Tiada ulasan