Terkini

BN boleh berucap, PKR buka sudut pidato untuk semua

AMPANG, 27 April — Marah, kecewa atau tidak berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat serta dasar kerajaan pusat dan negeri?

Sudut pidato di bilik gerakan satu daerah mengundi di kerusi Bukit Antarabangsa boleh menjadi pentas bagi pengundi meluahkan segalanya.

Tidak kira penyokong Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, PKR membuka peluang berucap di pentas kecil bagi mengulas isu-isu politik semasa.

“Ia terbuka kepada semua. Sesiapa sahaja boleh bercerita tentang isu politik menyokong kerajaan atau mengkritik pembangkang,” kata pengendalinya kepada ProjekMMO kelmarin.
Hashim Bakhtiar, 61, berkata inisiatif PKR itu untuk membolehkan orang ramai mengamalkan demokrasi, sama ada penduduk di situ atau pengundi luar.

Sudut pidato itu dibuka sejak tiga minggu lalu di kawasan medan selera Jalan Kelab Ukay Utama, sebelah Akademi Latihan Prudential.

Bermula 9 malam hingga 12 tengah malam, kata Hashim lagi, pentas kecil seluas tiga kaki di depan kabin bilik gerakan itu menarik tumpuan ramai.

Pemidato pelbagai latar belakang termasuk aktivis badan bukan kerajaan (NGO), pesara kerajaan dan anak muda tampil bersuara sepanjang tiga jam.

“Mereka bebas berucap tetapi boleh bawa diri atas kapasiti individu dan bukan mewakili mana-mana parti,” katanya, petugas bilik gerakan PKR itu.

“Syaratnya boleh bercakap tentang apa sahaja tetapi tidak dibenarkan menyerang dan menghina  individu termasuk pemimpin kerajaan dan parti.”

Kebanyakannya yang berucap mengeluh tentang kos hidup, harga barang dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selain isu tempatan di kawasan masing-masing.

Kerusi Bukit Antarabangsa disandang oleh Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali sejak 2008. Tokoh PKR itu juga bertanding di parlimen Gombak.

Tiada ulasan