Terkini

White House sedia terima cabaran Oprah

WHITE House menerima cabaran Oprah Winfrey untuk bertanding pada pilihan raya presiden 2020, kata jurucakap White House Hogan Gidley.

“Kami mengalu-alukan cabaran tersebut, sama ada daripada Oprah atau sesiapa saja,” kata Hogan kepada pemberita.

Ketika anugerah Golden Globes Ahad lalu, Oprah menyampaikan sebuah ucapan yang menyentuh tentang perkauman, seksisme, pergerakan #MeToo, Rosa Parks dan juga ikon hak sivil Recy Taylor yang mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

“Sejak sekian lama, suara wanita tidak didengari atau mereka percaya jika mereka berani mengatakan kebenaran kepada kuasa lelaki. Tetapi masa mereka telah tiba. Masa mereka telah tiba!” katanya memetik laporan independent.co.uk.

Ucapannya itu mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding pada 2020 dan pengguna media sosial mula menggunakan #Oprah2020 agar personaliti TV itu bertanding pada pilihan raya akan datang.

Oprah bagaimanapun berkata beliau tiada perancangan untuk bertanding bagi jawatan tersebut.
Tetapi pasangannya Stedman Graham berkata kepada LA Times, “Ia bergantung kepada rakyat. Beliau pasti akan melakukannya.”

Oprah adalah individu yang digemari dalam kalangan liberal dan beliau pernah berkempen untuk Obama pada 2008 dan memberi sokongan kepada calon demokrat Hillary Clinton pada 2016.

Ketika kempen Clinton, Oprah pernah membincangkan tentang prospek presiden wanita dan berkata telah tiba masanya untuk Amerika mempunyai seorang presiden wanita.

Dalam satu temuramah bersama Bloomberg Mac tahun lalu, David Rubenstein pernah membangkitkan tentang kemungkinan Oprah bertanding jawatan presiden dengan berkata, “jelas anda tidak memerlukan pengalaman di dalam kerajaan untuk dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat.”

Oprah kemudiannya membalas kenyataan tersebut dengan berkata selepas kemenangan Trump, beliau ada memikirkan tentang perkara tersebut.

 “Saya fikir saya tidak ada pengalaman, saya tidak cukup pengetahuan,” katanya.

Oprah mempunyai beberapa persamaan dengan Donald Trump sebelum beliau menjadi presiden AS.

Kedua duanya sangat kaya, mempunyai pengalaman yang cetek dalam pentas politik dan populariti yang tinggi. Mereka juga mempunyai rancangan TV sendiri dan membina empayar mereka sendiri.

Trump masih belum mengumumkan bahawa beliau akan bertanding lagi pada 2020 walaupun beliau telah banyak menganjurkan banyak acara berbentuk kempen sejak tahun lalu

Tiada ulasan