Terkini

Pendirian Pas tepat dan jelas


SHAH ALAM - Syarat Pas amat jelas dan terang, terbuka berunding dengan sesiapa sahaja selama pihak yang mengadakan rundingan menghormati prinsip perjuangan parti berkenaan.

Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor, Muhammad Najhan Halim berkata, selain itu pihaknya juga sedia berunding dengan mana-mana pihak yang dapat  menerima Islam sebagai dasar Pas serta menguntungkan Islam.

"Pas bersedia untuk memberikan sumbangan dan kerjasama di mana Islam diletakkan sebagai syarat utama dan sebabnya bukannya sekadar politiking sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terdapat juga kaedah 'Mengambil mudarat yang lebih ringan' apabila terdapat dua mudarat. Pada waktu itu Pas, memungkinkan memilih untuk berdepan dengan mudarat politik dialami parti itu daripada menanggung mudarat kepada Islam dan ajaran Islam.

"Maka dalam situasi seumpama ini, Pas bersedia untuk bekerjasama semata-mata untuk memastikan survival Islam dan kepentingan Islam menjadi keutamaan. Sebagai contoh, kerjasama Pas dalam isu umat Islam sejagat seperti Rohingya dan Palestin bersama Kerajaan Persekutuan," katanya.

Katanya dalam hal ini, kepentingan Islam diletakkan di hadapan oleh Pas sekalipun  terpaksa berdepan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah politiking oleh musuh politiknya.

"Inilah pendirian Pas agar difahami semua agar kita faham dan memfokuskan hala tuju kita dengan keputusan yang diambil Pas bersama-sama mendepani PRU14," katanya.

Tiada ulasan