Terkini

Kecewa agihan kerusi, Hatta nafi letak jawatan pengerusi Amanah WP

PETALING JAYA: Dr Hatta Ramli tampil menafikan dakwaan beliau meletak jawatan pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan selepas kecewa kerana partinya tidak diberi kerusi di Kuala Lumpur.

Hatta berkata beliau masih menggalas jawatan itu dan memaklumkan tidak timbul isu tidak berpuas hati dengan hasil rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) menuju pilihan raya umum tidak lama lagi.

Beliau juga enggan mengulas dakwaan itu, yang dibuat oleh rakan sejawat, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

“Tidak ada. Saya masih kekal jawatan pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan,” katanya

Desas-desus mengenai peletakan jawatan Hatta itu dilaporkan Astro Awani semalam, memetik sumber dalaman parti yang memberitahu beliau melepaskan jawatan ketika rundingan akhir pembahagian kerusi pada Sabtu.

Beliau dikatakan bertindak demikian selepas Amanah tidak diberi kerusi Parlimen Titiwangsa, yang kini disandang Datuk Johari Abdul Ghani dari BN.

Kerusi itu pernah dimenangi calon PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali pada 2008 dengan majoriti tipis 1,972 undi. BN merampas kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti lebih kecil 866 undi.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda hari ini ketika dihubungi FMT turut mendakwa Hatta meletakkan jawatan itu, ketika menjelaskan ketidakpuasan hati Amanah negeri kepada hasil rundingan pembahagian kerusi.

“Kita korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.

“Dr Hatta Ramli meletakkan jawatan sebagai pengerusi Amanah Kuala Lumpur kerana mengambil tanggungjawab atas kegagalannya memperoleh walaupun 1 kerusi.

“Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam daripada Amanah hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripda julah kerusi yang akan ditandingi MCA. Akhirnya Amanah hanya bertanding 2 kerusi di Johor. Pulai dan kerusi suram, Parit Sulong,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Amanah diberi 27 kerusi, berbanding PPBM 52 kerusi, PKR 51 kerusi dan DAP 35 kerusi.

Tiada ulasan