Terkini

Teladani urus tadbir negara cara Umar al-Khattab



Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

 SESUNGGUHNYA mentadbir negara berdasarkan wahyu Ilahi merupakan satu tuntutan dalam ajaran agama Islam. Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. telah berjaya membuktikan kebijaksanaannya mentadbir negara dengan nilai-nilai murni yang diajarkan Allah SWT dalam al-Quran, kerana ia menjamin kesejahteraan hidup manusia dunia dan akhirat, sekali gus menjamin tempat di sisi para Anbiya’ a.s.

Pelaksanaan pentadbiran negara yang diilhamkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. tidak terhenti setelah kewafatan baginda, tetapi ia diteruskan oleh para khulafa’ Rasyidin seperti yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar Bin al-Khattab, Saidina Othman Bin ‘Affan dan Saidina Ali Bin Abi Talib.

Dalam membicarakan isu pentadbiran yang dimaksudkan, isu-isu semasa agama kali ini ingin mengajak semua untuk melihat sejauhmana warisan pentadbiran itu dilaksanakan oleh Saidina Umar bin al-Khattab dalam memimpin rakyat dengan peraturan Islam bagi menyelamatkan mereka nanti di akhirat, kerana jika tersalah memimpin, azab Allah menanti pemimpin yang mengabaikan tanggungjawab yang wajib ke atas mereka.

Asas-asas pentadbiran yang diutamakan oleh Saidina Umar bin al-Khattab

1- Jelas dan teliti

Pentadbiran dalam sesebuah negara bukanlah hanya tertumpu kepada ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ semata-mata, ia bukan juga untuk mengaut keuntungan atau membina empayar seseorang dengan mencapai matlamat tertentu, tetapi mentadbir negara  berdasarkan wahyu Ilahi merupakan satu tuntutan dan tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh mereka yang bernama pemimpin dengan penuh teliti dan jelas matlamatnya.

Inilah yang difahami dan dibuktikan oleh kepimpinan Saidina Umar yang jelas menyebutnya menerusi perkataan pertamanya ketika menjadi khalifah : “Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu (dengan kebenaran Islam), aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, tetapi mahu menjadikan diri ini menjadi orang baik lagi bertakwa kepada Allah, demikianlah dengan Umar yang akan menanti hari perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat.”

Daripada ungkapan Saidina Umar itu, dapatlah disimpulkan, bahawa :
-Kesungguhan Saidina Umar untuk melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan Islam.
-Mencapai matlamat pentadbiran dengan pendekatan yang mampu dilakukan oleh pemimpin.
-Berkerjsama dan bermesyuarat untuk mendapat kata sepakat bagi mencapai matlamat.
-Tanggungjawab bukanlah satu kemuliaan, akan tetapi adalah amanah yang akan ditanya Allah pada hari kiamat.
-Menyebar-luaskan maslahat untuk semua rakyat.

2- Menentukan matlamat dan iltizam untuk mencapainya

Sehubungan itu, Saidina Umar ada menegaskan, bahawa untuk mencapai matlamat pentadbiran negara yang mengikut apa yang pernah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. di Madinah, maka yang paling penting -:

Pemerintah/pemimpin tidak menyusahkan rakyat dengan pelbagai bebanan yang tidak sanggup mereka memikulnya.

*Mentadbir serta mengurus wang rakyat dengan baik tanpa berlaku penyelewengan.
*Mengurus negara dengan baik mengikut keperluan sara hidup rakyat.
*Memelihra dan membenteng negara dari segenap bentuk pencerobohan dan permusuhan pihak luar yang sentiasa berusaha untuk memusnahkan negara.
*Mewujudkan keharmonian maksimum kepada rakyat dengan mencapai matlamat sebaik-
baik umat.

3- Bekerja dan berusaha adalah syarat untuk berjaya
Diriwayatkan daripada Saidina Umar maksudnya : “Kekuatan pada bekerja dan berusaha itu ialah dengan tidak melengah-lengahkan (menangguh-nangguh) pekerjaan hari ini kepada hari esok, sesungguhnya sesuatu amanah yang diberikan itu tidak boleh dikhianati, iaitu amanah zahir perlu dizahirkan dan amanh batin perlu dirahsiakan, oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT.”

Ketiga-tiga kaedah yang diguna-pakai oleh Umar adalah faktor untuk menuju kejayaan, iaitu tidak menangguh-nangguhkan pekerjaan hari ini kepada esok, melaksanakan amanah dengan sungguh-sungguh dan takwa kepada Allah, inilah yang jarang diambil peduli oleh kebanyakan para pemimpin hari ini, walaupun di dunia Islam.

4- Setiap individu perlu diberikan hak yang sesuai menerusi ketelusan pentadbiran

Antara ciri yang membantu memperkasa ketetapan yang sesuai dalam mentadbir negara  ialah memahami dengan baik keperluan individu masyarakat atau perkumpulan yang menjadi sasaran kepada pemimpin, sehubungan itu Saidina Umar telah mejayakannya menerusi dua kaedah :
*Mengutamakan mereka yang telah lama menjadi Islam serta merealisasikan syiar-syiar agama Islam.
*Tidak mengecualikan individu-individu dalam negara secara adil dan saksama (untuk terus minat dengan Islam).

Umar telah membuktikan bagaimana beliau mengutamakan keluarga baginda Rasulullah atau mereka yang dekat kepadanya, sama ada dari sudut memberi bantuan, menerima pandangan atau menyampaikan keperluan kepada mereka, begitulah juga arahan Umar kepada semua Gabenornya agar melakukan apa yang dilakukannya bagi merealisasikan tuntutan ajaran agama Islam dalam pentdabiran negara.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa Saidina Umar tidak berkompromi malah bertindak tegas dalam mana-mana tindakan gabenornya yang tidak tidak selari dengan Islam, kerana ia akan mencacatkan gambaran Islam di mata manusia, khsusunya mereka yang tidak beragama Islam.

5- Menyelusuri peranan ‘teladan’ dalam kepimpinan

Kepincangan dalam mentadbir negara  menurut Saidina Umar, ialah hilangnya jati diri pemimpin dan ciri-ciri teladan yang baik daripada diri mereka, ini kerana menurutnya : “Rakyat merupakan sasaran pemimpin untuk berkerja bersungguh-sungguh hingga membawa mereka kepada Allah, jika pemimpin tidak berjaya melakukannya malah tenggelam dalam apa yang mereka suka, maka rakyat juga akan jadi begitu.”

Harta kekayaan negara menurut Umar, bukanlah milik pemimpin negara yang boleh diperlakukan menurut hawa nafsu mereka, harta negara umpama harta anak-anak yatim yang perlu dipelihara dan diurus dengan makruf pada perkara-perkara yang makruf pula.

Sesungguhnya, tiada pemimpin yang mampu melakukannya, melainkan mereka yang pernah hidup dalam kesempitan dan pernah melalui masa-masa sukar, bahkan mereka tidak akan mendahulukan kaum kerabat mereka (kronisme) kerana ia dianggap sebagai satu tindakan mengkhiantai amanah Allah SWT, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.

6- Menyebar-luaskan kesedaran agama kepada rakyat jelata

Yang kurang ditekankan kepada rakyat pada hari ini ialah kesedaran tinggi terhadap agama, kebanyakan daripada pemimpin dunia hari ini termasuk dunia Islam, tidak menitik-beratkan penekanan tersebut kepada rakyat, bahkan menyediakan bahan-bahan hiburan yang melalaikan mereka daripada mengetahui tanggungjawab sebagai individu muslim.

Masjid dan surau tidak lagi menjadi tumpuan sebenar untuk membimbing rakyat untuk memahami Islam dengan baik, ia hanya sekadar tempat untuk bersolat jemaah, berbangga dengan seni binaannya yang mencecah jutaan ringgit, tetapi kosong dengan pengisian rohani, kalaupun ada ia hanya bagai lepaskan batuk di tangga bagi mengisi jadual tahunan mesyuarat untuk dilaporkan.

Bagi Saidina Umar, tahap kesedaran yang hendak disampaikan kepada rakyat, datang daripada kesedaran para pemimpin yang benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan Islam dalam segenap bentuk pendekatan dan kaedahnya, sanggup membiayai, menaja dan membelanjakan program-program yang memberi input positif kepada rakyat agar bersedia kembali ke pangkuan agama.

Rakyat menjadi keutamaan untuk dipimpin dengan pengisian rohani dalam erti kata sebenarnya, kesempatan menjadi pemimpin sepatutnya menjadi ukuran sejauhmana kesungguhan mereka mendaulatkan Islam, membekalkan maklumat penting tentang agama kepada mereka, para ulama’ menjadi agen pemerintah memainkan peranan penting menyedarkan rakyat dengan segala penyampaian ilmu-ilmu fardu ‘ain di samping mengingatkan mereka bahaya hiburan melampau yang boleh mengikis akidah sedikit demi sedikit, kerana iman seseorang itu boleh naik dan boleh turun, bergantung kepada sejauhmana kekentalan pegangan mereka.

Justeru, Saidina Umar ada menegaskan dalam siri tazkirahnya dengan menyebut : “Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah hantar para gabenor kepada kamu adalah untuk menjadi pekerja kamu dan bukannya untuk mengambil/mengaut harta-harta kamu, pada masa yang sama, aku mengarahkan mereka untuk mengajar kamu tentang urusan agama kamu, mana-mana daripada mereka melanggar arahanku, sila khabarkan segera  kepadaku.”

Itulah di antara asas-asas pentadbiran negara yang baik yang ditonjolkan Umar kepada umat Islam di sepanjang zaman. Bagi pemimpin yang meletakkan al-Quran dan as-Sunnah lebih tinggi daripada teori-teori ciptaan manusia seperti Sekularisme, Kapitalisme, sosialisme dan lain-lain, pasti akan menemui kebenaran yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Islam tidak memperakui tamadun tanpa ‘Manhaj Rabbani’

Manhaj Rabbani yang menjadi teras kepada kejayaan sesuatu tamadun ialah berpaksi kepada manhaj al-Quran, kerana Islam menganggap sesuatu tamadun itu yang tidak disandarkan kepadanya adalah khayal dan mustahil, justeru tamadun itua adalah Islam dan Islam itu diceduk daripada inspirasi wahyu Ilahi, perkara ini ditegaskan Allah SWT menerusi ayat 10 surah al-Anbiya’ yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan sebuah Kitab (Al-Quran) kepada kamu yang mengandungi perkara yang menimbulkan peringatan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?”

Menurut Imam as-Sa’di yang dimaksudkan peringatan baik untuk kamu, ialah satu kemuliaan dan kebanggaan kepada umat manusia terutamanya para pemimpin yang memimpin rakyatnya ke arah memahami tuntutan alam akhirat dengan segala bentuk bekalan yang disediakan oleh al-Quran, iaitu melakukan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala tegahan dan larangan—Nya yang boleh menaikkan kedudukan manusia di sisi-Nya sepertimana ungkapan terakhir ayat berkenaan, mengapa kamu tidak memahaminya.

Justeru, mana-mana tamadun yang tidak disandarkan kepada ‘Manhaj Rabbani’ ini iaitu al-Quran, sudah pasti akan menjadi tamadun yang sia-sia, mengundang bala Allah, tamadun yang menggelapkan hati-hati manusia pada hari akhirat dan akan menjerumuskan mereka ke dalam api neraka, Wal ‘Iyazubillah.

Tiada ulasan