Terkini

Jangan hanya jadi hero di media sosial

Oleh AZIZ MUDA

KUALA LUMPUR: Seluruh ahli PAS diingatkan supaya jangan hanya menjadi hero melalui media sosial seperti yang ditunjukkan oleh pihak tertentu kerana matlamat PAS bertanding dalam pilihanraya adalah untuk mencapai kemenangan.

Sebaliknya, setiap ahli PAS perlu sedar bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 14 sudah semakin hampir dan setiap cawangan PAS perlu dijaga dengan baik supaya tidak mati seperti yang berlaku ke atas parti tertentu.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, setiap ahli PAS perlu bersedia dengan secukupnya untuk menghadapi pilihan raya, malah PAS sendiri mendidik ahlinya supaya bekerja keras serta membina kekuatan sendiri tanpa menunggu kelemahan musuh.

Menurutnya, PAS mesti memastikan seluruh jenteranya berjalan baik hingga ke akar umbi kerana untuk menghadapi pilihan raya tidak cukup hanya dengan kekuatan calon tanpa jentera.

“Jika PAS tidak bekerja, jangan menyesal kalau kita kalah. Biar kita berusaha dengan gigih kemudian tawakkal kepada Allah SWT. Kalau pun kalah kita puas hati, kerana kita bekerja. Kita akan menyesal jika kegagalan kerana kemalasan kita. Sebenarnya kita merancang untuk kegagalan.

“Kita tidak mahu menjadi parti yang hendak melawan tetapi tidak ada kekuatan. Apabila gagal mula menyalahkan orang lain kerana tidak membantu.

Kita tidak boleh berangan musuh kita akan membantu kita. Sebaliknya binalah kekuatan sendiri,”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, PAS jangan menyalahkan orang lain jika di dalam PRU nanti tidak ada siapa hendak gantung bendera, tampal poster, bertugas sebagai PACA pada hari mengundi, merayu undi daripada rumah ke rumah. Kita, menurut beliau, tidak mahu mendengar orang PAS mengamuk dan menyalah orang lain (terutama musuh PAS) yang tidak membantu PAS sehingga PAS tewas dengan BN.

“Kenapa kita perlu harap orang yang tidak suka kepada kita untuk membantu kita. Biarlah kita salah diri kita. Jangan jadi seperti orang lain, asyik salah PAS sahaja apabila agenda mereka gagal. Kelemahan sendiri tidak mahu melihat.

Jom sejahtera bersama Islam. Gagasan Sejahtera,” ujar beliau.








Tiada ulasan