Terkini

Terbalik tangan ketika berdoa

SOALAN: Semasa imam berdoa ketika sampai kepada ayat “Qolubala...” hingga akhir, imam pusing tangannya, adakah ini amalan daripada Rasulullah s.a.w. Tolong jelaskan.

JAWAPAN: Masa imam berdoa ketika sampai kepada “Qolubala”, ayat tolak bala, maka setengah imam akan pusing tangannya atau dilingkupkan tapak tangannya ke bawah. Soalannya, ada atau tidak Nabi buat macam itu? Baik. Ia dua persoalan.

Yang pertama, ada atau tidak Nabi buat macam itu? Yang kedua, boleh atau tidak buat macam itu? Sebab ada juga Nabi tidak buat kita boleh buat. Betul atau tidak ada juga yang Nabi tidak buat tapi kita boleh buat? Macam mengundi, Nabi mengundi atau tidak? Zaman Nabi tidak mengundi.
Tapi sekarang wajib atau tidak mengundi? Wajib mengundi sekarang. Sebab itu kena faham elok-elok. Banyak kefahaman sekarang yang ‘pakai’ kalau Nabi tidak buat tidak boleh buat. Itu bahaya. Menyesatkan juga itu. ‘Buah-buah’ kaum muda belaka itu.

Jadi yang Nabi buat, ada satu sahaja yang datang dalam hadis-hadis yang sahih Nabi balikkan tangannya, iaitu dalam peristiwa sembahyang Istisqa, minta hujan. Buka Sahih Muslim dan kitab-kitab seumpamanya. Sembahyang minta hujan. Yang doa-doa tahlil tiada Nabi buat terbalik tangan macam itu. Doa selepas sembahyang tiada. Berlakunya dalam doa minta hujan, Istisqa. Terlampau kemarau kuat sangat, maka sampai separuh daripada doa, Nabi pusing tangan terang-terang, bahagian zahir naik ke langit, itu disebut dalam hadis. Terang, tidak payah tafsir, terang. Pada matan itu sudah diberitahu, Nabi memusingkan tangan beliau, bahagian belakang ke langit. “Ila sama’”, ke langit. Di situ, tempat lain tiadalah. Bila macam itu, maka seafdalnya, kita ikut sunnah, dalam solat Istisqa masa berdoa pusing tangan.

Kemudian pada solat-solat, pada doa-doa lain, boleh atau tidak pusing tangan kalau pada doa-doa itu minta Tuhan jauhkan bala. Ada dua mazhab, dua golongan ulama. Yang satu, tidak sunat kerana ini untuk sembahyang Istisqa sahaja.

Yang kedua, sunat kerana dia pakai qias dengan solat Istisqa.

Yang sunat inilah yang ada tok imam ikut ini. Tok imam balikkan tangannya itu dia ikut pendapat ulama-ulama yang menggunakan qias. Walaupun tidak dalam tempat lain, Nabi hanya balikkan tangan dalam solat minta hujan, tapi oleh kerana dia itu minta Tuhan jauhkan daripada mala petaka, maka boleh juga qias atas jalan umum. Maka qias ini diterima juga oleh syarak. Jadi keduaduanya itu betul. Yang kata tidak boleh balikkan tangan tetapi tapak tangan berterusan ke atas macam itu betul juga sebab dia hendak pakai nas yang asal. Betul juga.

Tapi bila betul juga, kata Syeikul Azhar, haram dia pergi larang orang yang menggunakan qias Nabi balik tangan dalam solat Istisqa.

Walaupun kamu tidak beramal, haram kamu larang orang pusing tangan. Tidak boleh.

Sebab yang pusing tangan bukan fatwa daripada orang yang jual ais, tetapi fatwa daripada ulama besar-besar.

Dia qias dengan amalan Nabi dalam pusing tangan ketika solat minta hujan. Kedua-dua pendapat itu betul. Faham atau tidak lagi? Jadi hendak kalau beramal, kalau kamu larang orang yang buat macam itu, tidak kiralah kamu tok guru, kamu kiai, kamu ustaz, bodoh belaka. Kalau kamu berbelah mengenai perkara ini, sedangkan kamu ustaz, kamu adalah ustaz bodoh. Ini masalah khilafiah. Sudah siap dalam fatwa-fatwa Syeikul Azhar sama ada fatwa Syeikh Abdul Halim Mahmud, fatwa Syeikh Ali Jaddul Haq, fatwa Syeikh Muhammad Sayyed Tantawi atau bekas Mufti Mesir, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf. Ini ulama-ulama besar yang zaman moden mengatakan perkara ini khilafiah, boleh buat.

Bila kita buat, balikkan tangan, kita tengok orang tidak pusing tangan macam kita juga, dia betul juga kerana dia cenderung kepada pendapat ulama yang pakai asal. Maka orang yang tidak pusing tangan, tengok orang pusing tangan pada doa tolak bala, tidak boleh hendak kata tidak boleh buat macam itu. Kerana apa? Sebab ada juga ulama besar-besar yang qias dengan perbuatan Nabi tersebut. Jadi, kedua-dua amalan itu betul belaka. Kerja kita sepatutnya bukan berlawan dalam bab pusing tangan. Lawan kita sepatutnya yang sana, iaitu orang tolak hudud, orang rombak masjid, orang musnahkan surau.










Tiada ulasan