Terkini

Nawawi: Teknologi boleh ubah muka, jangan percaya video KP SPRM

KUALA LUMPUR: Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) mempertahankan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhubung video yang mengaitkan beliau kepada skandal membabitkan seorang wanita di Bali, Indonesia.

Ahli Parlimen itu berkata, kemajuan dan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini memungkinkan sesiapa sahaja menjadi sasaran tujuan jahat.

“Gambar ini tidak boleh dipercayai. Zaman teknologi ini, muka Tan Sri (Pandikar Amin Mulia) boleh jadi muka saya.

“Kerana zaman teknologi ini kita boleh buat macam-macam. Pernah dulu kita dengar ada yang kata ‘sound like me, look like me, maybe its not me’,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Nawawi turut menegur Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) kerana menimbulkan isu itu tetapi mendiamkan diri dalam isu membabitkan seorang menteri besar, yang tidak beliau namakan.

“Apakah tidak boleh Puchong gunakan perkara sama membandingkan hal sama dengan seorang menteri besar di sebuah negeri.

“Jika Puchong tidak boleh lakukan perkara itu, ia berat sebelah. Jadi saya harap perkara ini kita dapat matikan di sini,” katanya.

Sebelum ini, Gobind meminta tindakan tatatertib diambil terhadap Dzulkifli. Seorang lagi ahli Parlimen, Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) meminta Dzulkifli meletak jawatan.

Pada 13 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis membuka siasatan terhadap video itu, yang tular di media sosial.

Menjawab skandal itu, Dzulkifli sebelum ini berkata serangan itu dibuat kerana kempen agresif SPRM terhadap individu yang terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

“Taktik kotor ini bertujuan untuk mencemarkan imej saya dan reputasi sebagai pesuruhjaya SPRM dan menjatuhkan kredibiliti SPRM dalam menjalankan tugas kami memastikan negara kita bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Tiada ulasan