Terkini

Najib terima ‘Anugerah Hubungan Dalam Media Sosial’

PERDANA Menteri Najib Razak menerima Anugerah Kepimpinan Global bagi Hubungan Dalam Media Sosial atas pembabitan aktif beliau dalam media sosial, selepas merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia 2017 hari ini.

Beliau menerima anugerah itu daripada Pengasas dan Presiden Malaysia Social Media Chambers Shahul Hameed Shaik Dawood.

Ketika ini, Najib mempunyai 337,000 pengikut di Instagram, 3.8 juta pengikut di Twitter  dan  3.3 juta pengikut di Facebook yang menjadikan beliau antara pengguna nombor satu media sosial bersama-sama 20 juta rakyat Malaysia yang aktif di platform berkenaan.

Najib mula menggunakan Twitter pada September 2008 semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan pada awalnya menyiarkan beberapa dokumen rasmi beliau dan banyak membuat ulasan berkaitan isu tempatan, semasa dan antarabangsa.

Perdana menteri turut menggunakan Facebook untuk berhubung dengan masyarakat Cina dengan mewujudkan laman peminat bahasa Cina dan menggelar dirinya sebagai  “Ah Jib Gor” atau Abang Najib.

Najib menyertai Instagram pada 28  Mac, 2013 dengan catatan; "Akhirnya saya menyertai Instagram.  Cara baik untuk menunjukkan gambar-gambar di belakang tabir daripada aktiviti harian saya”.

Shahul dalam ucapannya berkata anugerah itu diberikan kepada perdana menteri bagi mengiktiraf peranannya dalam memacu pembangunan industri digital di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk dengan kalangan pemain tempatan dan global.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Ikon Media Sosial 2017 kepada pelakon dan pelawak Zizan Razak.

Terdahulu, perdana menteri dalam ucapannya menegaskan penyebaran berita palsu perlu dipandang serius termasuk di negara ini.

"Kita tidak mahu sesiapa pun membuat keputusan berdasarkan pembohongan, putar belit dan fitnah,” katanya.

Najib berkata pengamal media sosial perlu adil dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka tulis dan siarkan dan tahu membezakan terhadap apa yang mereka baca.

"Jangan percaya bulat-bulat setiap catatan dan tweet. Terdapat begitu banyak berita palsu di luar sana sehinggakan The Economist minggu ini malah bertanya sekiranya media sosial satu ancaman kepada demokrasi," katanya.

Najib dalam pada itu berkata ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 5.7% pada separuh pertama tahun ini tidak sepatutnya dipertikaikan oleh netizen. – Bernam

Tiada ulasan