Terkini

Naik Honda C70, penyokong bola Kedah ke Shah Alam


Dua sahabat sanggup meredah perjalanan sejauh 485 kilometer dengan menunggang motosikal klasik Honda C70 ke Stadium Shah Alam, Selangor, semata-mata ingin melunaskan hajat tidak kesampaian tahun lepas.

Tahun ini, kedua-dua penyokong tegar skuad Kedah tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pertembungan final Piala Malaysia menentang Johor Ta’zim (JDT) malam esok.


Muhamad Nizam Sudin, 55, dan Muhamad Shukur Alias, 31,  memulakan perjalanan seawal 7 pagi ini dari Kampung Batu 4, Sungai Ular di sini menuju ke destinasi.

Menurut Muhamad Nizam, perjalanan bermotor itu bukan sekadar memberi sokongan tetapi sebagai melunaskan hajat tidak kesampaian beliau dan rakan-rakan lain pada tahun lepas.

“Kami simpan niat menunggang motosikal klasik ke perlawanan akhir Piala Malaysia dari tahun lepas lagi...tahun ini, dengan pasukan Kedah sekali lagi beraksi di pentas akhir, insya-Allah hajat ini akan tercapai bersama motosikal yang berusia lebih 40 tahun ini, “ katanya kepada pemberita hari ini.


Biarpun mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti berkonvoi, Muhamad Nizam, yang merupakan bekas pesara Majlis Perbandaran Kulim itu, mengakui keterujaan menunggang motosikal klasik ke Stadium Shah Alam pada kali ini sangat berbeza.

“Sudah tentu saya teruja dan bersemangat untuk tiba di stadium dan bersama — sama ribuan penyokong Kedah yang lain. Kami mahu raikannya bersama-sama, “katanya.

Sementara itu, Muhamad Shukur pula berterima kasih kepada semua pihak terutama pihak Pemuda Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu yang menjadikan hajat tersebut sebagai kenyataan.

“Paling utama, sumbangan tiket perlawanan akhir. Bagi pihak kami sendiri, kami hanya memastikan keadaan motosikal berada dalam keadaan terbaik.

“Kami cuma berharap, perjalanan kami tidak menghadapi masalah dan dapat bersama-sama penyokong lain dan seterusnya melihat Kedah sekali lagi menjulang Piala Malaysia,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan