Terkini

Lakonan air mata adun Umno

TINDAKAN Datuk Norzula Mat Diah (BN-Paloh) yang menangis ekoran tidak dibenarkan mengambil perbahasan pada hari terakhir sidang Dun Kelantan hari ini sebagai lakonan air matanya.

Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata mungkin ia bertujuan untuk menghentam kerajaan negeri dalam ceramahnya selepas sidang Dun.

"Mungkin juga beliau bertindak sedemikian untuk pulang awal," ujarnya.

Abdul Latif berkata demikian dalam satu kenyataannya sebagai reaksi terhadap tindakan Adun berkenaan yang diminta keluar dari persidangan Dun pagi tadi.

Menurutnya, sesi perbahasan Bajet 2018 telah berakhir sekitar jam 4.30 petang semalam.
"Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim telah mengakhiri ucapan perbahasan itu.

"Selepas itu tidak ada seorangpun ahli Dun yang ingin  bangun untuk mengambil bahagian," ujarnya.
Bagaimanapun pagi tadi selepas persidangan disambung semula sekitar jam 11.20 pagi, Speaker Dun, Datuk Abdullah Yakob, menjemput pihak kerajaan untuk membuat penggulungan.
Namun katanya, secara tiba-tiba Adun Paloh itu ingin berucap.

Bagaimanapun, jelas Abdul Fattah hasratnya tidak berhasil memandangkan sesi perbahasan sudah berakhir petang semalam.

Berikutan keengganannya mematuhi arahan persidangan Dun, beliau diminta keluar dari Dun tersebut.

Ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO, Datuk Dr. Ramli bin Mamat sedang berucap. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan