Terkini

Krisis Rohingya boleh dianggap penghapusan etnik - SU Negara AS

Buat julung kalinya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson pada hari Rabu telah melabel kekejaman di negeri Rakhine yang terletak di utara Myanmar sebagai "penghapusan etnik," dan menggesa agar mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Tillerson berkata AS terus menyokong siasatan yang boleh dipercayai serta bebas bagi menentukan semua fakta di lokasi dengan lebih lanjut untuk membantu proses akauntabiliti dan memanjangkannya melalui undang-undang AS, termasuk kemungkinan mengenakan sekatan bersasar.

Laporan media antarabangsa baru-baru ini menyebut Setiausaha Negara itu sebelum ini enggan menyifatkan krisis di Rakhine sebagai penghapusan etnik, sambil menambah bahawa AS memerlukan lebih banyak maklumat.

"Saya mengulangi kecaman Amerika Syarikat terhadap serangan pada 25 Ogos oleh Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA). Namun tiada provokasi yang boleh menjustifikasi kekejaman dahsyat yang berlaku selepas itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Washington DC pada hari Rabu.

Tillerson berkata kekejaman yang dilakukan oleh beberapa pihak dalam kalangan tentera Burma, pasukan keselamatan dan penduduk tempatan telah menyebabkan penderitaan serta memaksa ratusan ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak melarikan diri dari rumah mereka di Myanmar untuk mencari perlindungan di Bangladesh.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dianggarkan sejumlah 620,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak 25 Ogos.

Tillerson berkata AS menyokong komitmen kerajaan Myanmar untuk mewujudkan keadaan yang sesuai kepada semua pelarian dan penduduk yang tersingkir bagi membolehkan mereka kembali ke kampung halaman masing-masing dengan selamat dan secara sukarela, serta menyambut baik pertukaran antara kerajaan Myanmar dan Bangladesh berkaitan isu penghantaran balik.

Beliau berkata banyak pihak berkepentingan perlu bekerjasama bagi memastikan kemajuan dalam isu itu, sambil menambah bahawa sokongan oleh tentera Myanmar kepada usaha kedua-dua kerajaan adalah penting dalam situasi yang rumit dan kompleks ini.

Setiausaha Negara itu berkata minggu lepas AS telah mengumumkan tambahan sebanyak AS$47 juta sebagai bantuan kemanusiaan untuk mereka yang terjejas dengan krisis negeri Rakhine, menjadikan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan sebagai respons kepada krisis ini adalah melebihi AS$87 juta sejak Ogos tahun ini.

Tillerson berkata beliau telah bertemu Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Kanan Min Aung Hlaing semasa lawatannya ke Naypyitaw, Myanmar pada 15 November, ketika beliau mengulangi komitmen kuat AS terhadap kejayaan peralihan demokrasi Myanmar sebagai kerajaan yang dipilih untuk melaksanakan reformasi, membawa keamanan dan perdamaian kepada negara itu, serta menyelesaikan krisis yang membawa kemusnahan di Negeri Rakhine.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak begitu lantang menyuarakan pendapat dalam isu Rohingya.

Merupakan antara pemimpin pertama yang mengkritik kekejaman di Negeri Rakhine, Najib turut membangkitkan isu itu di pelbagai arena antarabangsa.

Semasa lawatan beliau ke Rumah Putih pada September, Najib secara khusus dan jelas membangkitkan isu Rohingya dengan Presiden Donald Trump dan perkara itu diterima baik oleh pemimpin AS itu.

telah bersetuju mengeluarkan satu kenyataan tegas mengenai keganasan terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar selepas diberikan gambaran sebenar situasi di negara itu oleh Malaysia, lapor Bernama.
- Bernama

Tiada ulasan