Terkini

Kalau mahu makan durian sebakul...

Oleh Lanh 

ADIK saya yang baru mencecah usia 40 tahun menghidap penyakit gout. Kasihan saya apabila melihatnya terpaksa berpantang daripada memakan daging dan apatah lagi makanan laut yang sedap-sedap seperti udang, sotong dan ketam.

Saya kini berusia lebih 55 tahun tetapi alhamdulillah tidak mengidap penyakit gout tetapi diserang penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak berusia 40 tahun. Maka tidak bolehlah saya makan makanan serta minuman manis berlebihan termasuklah durian walaupun, oh ini adalah buah ‘favorit’ atau kesukaaan saya.

Apabila membeli durian atau apabila ada anggota keluarga yang membawanya pulang maka saya hanya makan hanya seulas dua - ya kata orang untuk merasa saja. Ada kalanya saya tidak dapat menahan nafsu, maka saya akan membedal tiga, empat, lima ulas dan seterusnya. Akibatnya kepala menjadi pening semacam, manakala kekerapan kencing bertambah.

Kadang-kadang terasa seperti akan pengsan dan rebah ke bumi. Demikianlah nasib saya dan sebahagian besar insan lain yang sudah sampai ke usia senja ataupun tua. Apabila duit mulai lebat dalam poket dan malah boleh membeli sebakul atau selori durian, maka keupayaan untuk memakannya pula sudah tidak seberapa lagi. Dulu semasa muda ketika berselera untuk makan durian sebanyak mungkin tetapi duit pula tiada dalam poket, maka terpaksalah terkebil-kebil biji mata menahan nafsu.

Orang sufi berasa hairan mengapa manusia terlalu gila mahu menjadi kaya raya harta dan mempunyai duit bertimbuntimbun di bank. Duit itu tidak lagi boleh digunakannya untuk makan sesuka hati.

Apabila semakin tua maka semakin kuranglah selera untuk makan apatah lagi selepas diserang penyakit yang biasanya menyerang kebanyakan orang veteran seperti kencing manis, gout, darah tinggi dan lemah jantung.

Selepas mencapai usia tua maka jumlah makan seseorang adalah sedikit sahaja. Jadi apa perlunya duit bertimbun di bank?

Sebagai contoh sekiranya dia mahu makan durian maka dia boleh makan seulas dua saja; jika mahu makan daging juga secebis dua; dan jika minum, minum air kosong saja tanpa gula. Ada pula yang lebih malang lagi, tidak boleh makan makanan lazat-lazat termasuk nasi sebaliknya apa yang boleh dimakannya hanya roti kering saja. Malah ada yang tidak boleh makan dan minum secara normal dan terpaksa menggunakan tiub. Jadi untuk apa duit yang banyak-banyak di bank itu?

Ada orang lagi tua lagi ligat mengumpul harta. Kononnya senanglah mereka berbuat itu dan ini termasuklah berkahwin muda.

Mereka tetap mahu berkuasa di puncak dan terlalu leka menikmati keindahan dunia yang dianggap bagaikan syurga. “Orang tua kahwin wanita muda memang bagus,” kata seorang pemikir kerana dakwanya, “kalau kelapa tua (santannya) dipadankan dengan sayur muda barulah sedap lauk masakan.”

Pemikir

Tetapi ingat-ingatlah kerana seorang pemikir lain menyatakan betapa susahnya seorang tua yang beristerikan wanita muda.

Pada usia tua ini, alhamdulillah sempat saya ke kelas pengajian di masjid terutama di antara waktu Maghrib dan Isyak.

Me ngenai bab mencapai usia tua, kata sesetengah guru, perubahan yang berlaku kepada diri kita adalah perkhabaran dari langit. Perkhabaran daripada Allah SWT yang mengingatkan kita tentang kematian.

Seorang tok guru berkata dalam kebanyakan kes, kematian tidak berlaku secara mengejut seperti dakwaan sesetengah orang. Allah SWT telah menghantar utusannya, tetapi kebanyakan manusia tidak menyedarinya.

Salah satu daripadanya adalah penyakit. Apabila umur meningkat 40 tahun ke atas, pelbagai penyakit mula menyerang.

Kata tok guru, cerminlah diri sendiri. Rambut mulai putih dan ada yang sudah botak. Misai dan janggut juga sudah lebih banyak putih daripada hitam. Ini semua adalah utusan daripada Allah SWT.
Kita sebenarnya semakin hampir dengan kubur, tetapi mengapa kita tidak berasa sedarsedar lagi?
Kemudian badan pula mula terasa lenguh-lenguh. Sendi sakit di sana sini. Kemampuan dan kekuatan pun tidak seperti dahulu.

Berjalan sedikit pun sudah letih. Apatah lagi apabila berlari atau mendaki tangga, maka akan tercunggap-cunggap dan mengah bagaikan mahu putus nafas.

Suatu hari selepas tamat seorang tok guru memberi tazkirah, saya memberanikan diri bertanya beliau.

“Tuan, bagaimanakah saya dapat reda dengan situasi ini - dulu masa muda saya boleh makan durian sebanyak-banyaknya tetapi masalahnya saya tiada duit, sekarang ini dengan duit yang ada saya boleh beli sebakul durian, tetapi tak boleh makan pula?”

Jawapan tok guru mudah sekali dan membuatkan saya tercengang- cengang. “Dengan duit yang ada, awak belilah sebakul atau selori durian sekalipun. Ambillah sebiji dan rasalah seulas.

Yang lain tu hantarlah ke sekolah budak tahfiz. Atau sedekahkan kepada orang muda yang boleh makan... di dunia ini awak tak boleh makan sebakul durian, insya- Allah kalau awak masuk syurga nanti awak boleh makan seberapa banyak durian yang awak suka kerana di sana tiada penghuninya yang berpenyakit kencing manis, darah tinggi dan sebagainya...!”
https://susukunyitplus.blogspot.my/





















Tiada ulasan