Terkini

“Isytihar harta bukan main-main”

Datuk Dr Mujahid Yusof tidur di tepi Jalan Parlimen bersama Pemuda Pakatan Harapan membantah kenaikan harga minyak.
Oleh Arif Atan

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakannya menyertai pengisytiharan harta anjuran Invoke Malaysia baru-baru ini adalah serius memandangkan disertai akuan berkanun (statutory declaration).

Menurutnya, perincian harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan bulanan sebagai Ahli Parlimen itu boleh dibawa ke mahkamah sekiranya didapati tidak benar.

“Ia bukan sekadar angka-angka yang sengaja diletak begitu saja tapi disertai ‘statutory declaration’ yang di bawah Akta Keterangan, saya boleh dihukum penjara tiga tahun kalau apa yang ditulis tidak betul.

“Pengisytiharan aset oleh wakil rakyat Pakatan Harapan bukan main-main seperti didakwa pihak tertentu,” tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Jalan Parlimen jam 2 pagi tadi.
Datuk Dr Mujahid Yusof tidur di tepi Jalan Parlimen bersama Pemuda Pakatan Harapan membantah kenaikan harga minyak.

Terdahulu, beliau turut sama bermalam di lokasi menuju bangunan Parlimen itu menyertai aksi protes Pemuda Pakatan Harapan membantah kenaikan harga petrol dan diesel yang sudah memasuki hari kedua.

Dr Mujahid berkata, pengisytiharan kedudukan harta itu membolehkan rakyat mengetahui pendapatan dan perbelanjaannya tanpa eksploitasi status sebagai Ahli Parlimen sejak 10 tahun lalu.
“Rakyat boleh dapat tahu secara telus gaji yang saya dapat dan ke mana pula saya belanjakan. Pada masa sama, rakyat dapat lihat kita tidak ada guna kedudukan untuk buat duit,” ujarnya.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, format pengisytiharan yang terperinci dapat dilihat pada jumlah wang tunai di tangan yang boleh dilihat dalam akaun bank simpanan tetap, KWSP dan Tabung Haji.

“Satu lagi kolum, berapa kita berhutang sama ada pinjaman kereta, rumah, kad kredit, pinjaman peribadi mahupun pinjam dengan orang lain. Kita tulis di situ.

“Kolum seterusnya, apa aset yang kita ada. Boleh jadi rumah tahun berapa beli dan berapa nilainya. Kalau aset waris, saya mewarisi harta ayah dan berapa bahagiannya, saya catat.

“Termasuklah nilai kereta dengan hutang yang kita kena bayar selain perbelanjaan. Saya belanja pusat khidmat, sumbangan kepada rakyat semua dicatat. Akhirnya, rakyat dapat tahu berapa yang tinggal,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Mujahid berkata, pemilikan aset yang dilihat menjolok mata dalam tempoh singkat sebaik menjadi wakil rakyat tentunya mengundang persoalan banyak pihak tentang sumber pendapatan diperoleh.

“Contohnya, saya jadi wakil rakyat tahun 2008. Beli rumah tahun 2009. Sejak itu, itulah rumah yang saya ada. Itulah harta saya. Nilainya hari ini katakanlah RM380,000.

“Mewarisi aset harta ayahanda saya sejak tahun 2000 lagi, jadi tidak timbullah, soal di mana dapat duit. Lainlah kalau jadi wakil rakyat tahun 2008, sampai 2017 ada tiga biji rumah yang nilainya mungkin lebih RM2 juta.

“Ini yang dipersoal mana dapat duit. Gaji RM26,000 saja. Lainlah kalau ada pendapatan jadi mana-mana pengarah, tapi itu kena isytihar,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang berkenaan memberitahu pengisytiharan harta melalui Invoke Malaysia itu bukan bersifat paksaan.-M/Dateline















Tiada ulasan