Terkini

Guru besar sekolah Tamil ditukar selepas terima lawatan Guan Eng

Oleh Predeep Nambiar 

GEORGE TOWN: Guru besar sekolah Tamil di Butterworth dipindahkan ke sekolah lain selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan delegasinya melawat sekolah terbabit untuk menyerahkan cek.

Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berkata Lim dan ahli exco pergi ke sekolah itu baru-baru ini untuk memberi sumbangan untuk dana pembangunan sekolah tersebut.

Ramasamy berkata delegasi itu termasuklah beliau, Lim, Exco Kerja Raya Lim Hock Seng dan Adun Bagan Dalam A Tanasekharan.

Lawatan itu atas jemputan Lembaga Pengelola Sekolah  (LPS) SJK (T) Mak Mandin.

Derma RM100,000 disampaikan oleh Lim pada majlis tersebut. Sekolah tersebut berada di kawasan Parlimen Lim iaitu Bagan.

“Guru besar adalah wanita yang sangat rajin. Sekarang, beliau diminta untuk mengambil surat pemindahannya ke sekolah lain.

“Adakah satu jenayah jika Guan Eng memasuki sekolah itu sebagai ketua menteri dan Ahli Parlimen kawasannya?

“Jadi saya agak pemimpin Umno boleh memasuki mana-mana sekolah yang mereka suka dan menyanyikan lagu parti mereka dengan pelajar sekolah, dan guru besar tidak akan dikenakan apa-apa tindakan,” kata Ramasamy

Semasa dihubungi , guru besar itu mengesahkan beliau akan dipindahkan selepas berkhidmat di sekolah itu kira-kira setahun.


Katanya, beliau akan menemui pengarah pendidikan negeri hari ini untuk berbincang mengenai tempat baharunya.

Pentadbiran Lim sangat menyokong sekolah Tamil di negeri itu dan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Sekolah Tamil Pulau Pinang.

Setiap tahun, RM1.75 juta diperuntukkan untuk 28 sekolah Tamil di negeri itu. Tambahan RM200,000 diberi untuk pembangunan kelas pra-sekolah.

Kerajaan Pulau Pinang juga memberi tanah tambahan kepada sekolah yang layak yang mencatatkan pengambilan pelajar yang ramai.

Seorang ahli jawatankuasa khas, Satees Muniandy berkata membenarkan delegasi kerajaan negeri memasuki sekolah untuk menyerahkan sumbangan tidak seharusnya menjadi “jenayah”.

“Kami hairan jika guru besar bertugas di sekolah di Putrajaya, adakah beliau akan diperlakukan dengan tindakan yang sama?”

Pada awal Oktober lalu, guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) mengambil bahagian dalam pertandingan hiasan dan persembahan yang membawa tema “Umno dan Merdeka”.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghadiri majlis itu di

mana bendera Umno dipamerkan dan lagu parti dinyanyikan.

Lim menggelar acara itu “perhimpunan Umno” yang mengenangkan beliau kepada sesuatu yang tidak nampak janggal di negara komunis Korea Utara.

Beliau juga berdepan masalah memasuki sekolah menengah Cina di Bukit Mertajam, di mana beliau terpaksa berpatah balik kerana tidak mendapat kebenaran daripada jabatan pendidikan untuk memasuki sekolah tersebut.

Lim berkata sangat tidak adil kepadanya kerana beliau berada di sana untuk menilai bangunan sekolah yang rosak dengan tujuan untuk memberikan sumbangan.

FMT menghubungi Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan untuk mendapatkan maklum balas dan sedang menunggu jawapan daripadanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Shaari Osman berkata bukan guru besar itu sahaja dipindahkan, malah ramai lagi dikenakan tindakan yang sama.

“Bukan seorang. Ramai yang terlibat dalam pemindahan untuk mengukuhkan organisasi. Ini adalah amalan biasa untuk mana-mana organisasi.”

Tiada ulasan