Terkini

Ezam Tegur Gaya Hidup Pemimpin Bermewah Dan Bermegah

Pengerusi Hibah Datuk Mohamad Ezam Md Nor menegur gaya hidup pemimpin dan keluarga mereka yang bermewah dan bermegah dakwanya membabitkan pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, PH juga harus memandang serius gejala ini kerana kegagalan PH menanganinya dengan tegas akan membawa kepada tanggapan tiada bezanya PH dengan BN (Barisan Nasional).

“Hisbah memandang serius beberapa berita mutakhir yang mempaparkan gaya hidup pemimpin dan keluarganya yang bermewah-mewah dan bermegah-megah.

“Apatah lagi kisah-kisah ini membabitkan pemimpin didalam Pakatan Harapan PH,sebuah gabungan politik yang membawa politik dan harapan baru kepada rakyat dan negara.

“PH juga harus memandang serius gejala ini kerana kegagalan PH menanganinya dengan tegas akan membawa kepada tanggapan tiada bezanya PH dengan BN yang memang sudah terjerumus lama dengan gejala kerosakan akhlak pemimpin yang hidup bermewah dan bermegah-megah ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Bekas setiausa Umno Selangor ini mendakwa, mungkin gejala ini menular kedalam PH kerana ada pemimpin PH hari ini ujarnya, datang dari Umno yang terbawa-bawa budaya bobrok ketika bersama parti itu dahulu.

“Apa maknanya melaungkan perubahan sekiranya diri sendiri tidak mampu berubah?
“Kepimpinan didalam Islam juga bermaksud bukan sahaja keupayaan mengurus tetapi mendidik (murabbi) umat.

“Malah keislaman kita hari ini lahir dari ciri kependidikan dan teladan pemimpin terdahulu yang mempengaruhi kita menerima Islam sebagai pegangan kita.

“Nilai pemimpin apa yang mahu kita cari dari pemimpin yang jelas gagal mendidik keluarganya sendiri hidup bersederhana dengan penuh adab dan kesusilaan agama dan bangsa sendiri?,” soalnya.

Hisbah ujar Ezam lagi, ingin menegaskan bahawa isu kemewahan pemimpin bukan isu biasa kerana Ibn Khaldun menyebutnya sebagai ciri utama kejatuhan tamadun bangsa.

” Hisbah menuntut PH mengambil serius perkara ini sekiranya mereka benar-benar membawa hakikat dan komitmen perubahan kepada negara atau hanya laungan retorik politik merebut kuasa yang tiada langsung pertimbangan serius kepada persoalan nilai dan pertanggungjawaban kepada harta rakyat.

“Sama rosaknya seperti Umno dan BN. Sekiranya itulah hakikatnya amatlah malang umat dinegara ini terpaksa memilih antara 2 syaitan.

“Kedua-duanya menjahanamkan umat dan memperkayakan hanya segelintir pemimpin hipokrit yang hari ini berjubah berselipar mendatangi rakyat, esoknya pula belayar disamudera berjoli dikapal layar mewah bersama keluarga.

“Demi kepentingan dan masa depan umat yang lebih terbela Hisbah menuntut tindakan serius agar gejala yang merosakkan tamadun ini dihentikan atau mana-mana pemimpin yang rosak dan merosakkan ini dinyahkan daripada agenda besar perjuangan perubahan,” ujarnya.

Ezam turut memetik pandangan Ibn Khaldun yang secara jelas menyatakan sejarah ketamadunan yang perlu difahami dan hayati sepenuhnya sekiranya PH benar-benar serius mahu membina tamadun Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Ibn Khaldun menggariskan beberapa tanda kejatuhan dan kegagalan sebuah tamadun. Antaranya ialah apabila pemimpin negara itu hidup mewah dan berkejar dengan kemewahan,” ujarnya

Tiada ulasan