Terkini

Daripada ABIM ke Amanah, perjuangan berterusan



Oleh Abu Firdaus

Dalam Konvensyen Nasional tahunan Parti Amanah Negara di Alor Setar, Kedah lepas, satu resolusi yang menyokong supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri telah diluluskan. Ia bukan perkara baharu dan mengejutkan. Ia merupakan pengesahan perwakilan parti terhadap keputusan pucuk pimpinan untuk menyokong Anwar sebagai ketua kerajaan Malaysia andai kata Pakatan Harapan menang.

Lagipun mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah pun membincangkannya, dan ia juga sudah disetujui bahawa Anwar adalah calon bagi perdana menteri. Persetujuan ini turut disokong oleh Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dari tahun 1998 hingga tahun ini adalah memusuhi Anwar.

Tetapi bagi parti lain dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Anwar sebagai perdana menteri bukanlah suatu isu. Kedua-dua parti itu menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri sejak tahun 1998 lagi apabila gerakan Reformasi dilancarkan.

PKR tentunya menyokong Anwar kerana itulah rasional penubuhan Parti Keadilan Nasional. Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabung dengannya pada tahun 2003 juga menyokong Anwar sejak tahun 1998. PKR menegaskan prinsipnya supaya Anwar dijadikan perdana menteri dalam kongresnya tahun ini. Penegasan itu dibuat ekoran penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan.

PAS juga menyokong Anwar sebagai perdana menteri dari tahun 1998 ketika ia dipimpin oleh Datuk Fadzil Nor sehinggalah pada tahun 2015 apabila di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu berbalah dengan DAP dan meruntuhkan Pakatan Rakyat.

Ada satu masa golongan yang menyokong Anwar dalam PAS dipanggil Anwaristas. Umumnya mereka inilah yang keluar PAS dan menubuhkan Amanah pada tahun 2015.

Tetapi UMNO khususnya Dr Mahathir sendiri pernah menyokong Anwar untuk menjadi bakal perdana menteri apabila beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 hingga 1998. Maka sokongan terhadap Anwar bukanlah perkara baharu.

Dengan keadaan beliau yang dipenjara dua kali, keutuhan populariti Anwar adalah mengkagumkan. Rakan-rakan seperjuangannya yang pernah memusuhi turut kembali menjadi penyokongnya.

Banyak pemimpin Amanah yang pernah berjuang bersama Anwar ketika dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1970-an  dahulu. Paling ketara ialah Timbalan Penasihat Amanah, Abdul Ghani Shamsuddin, Presiden Amanah, Mohamed Sabu dan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir. 

ABIM ketika di bawah pimpinan Anwar adalah pelopor kepada kebangkitan perjuangan Islam kontemporari dengan penyertaan anak-anak muda yang komited. Dulu perjuangan mereka ini dipanggil gerakan dakwah. Kepada mereka yang pernah melalui zaman itu tentu dapat merasakan nostalgia idealisme perjuangan Islam. Mungkin di sebalik idealisme itu, aktivis-aktivis ABIM itu juga memiliki sifat naif, suatu perkara biasa di kalangan anak-anak muda yang cenderong pada politik di mana-manapun di dunia.

Pada tahun 1970-an itu, Anwar adalah presiden dan Fadzil Nor merupakan timbalan presiden. Yang Dipertua Agung PAS ketika itu, Datuk Asri Muda mengesan potensi Anwar dan mengharap beliau menyertai PAS dan bakal menggantikan beliau untuk menerajui parti itu.

Ekoran Demonstrasi Pelajar 1974, Anwar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika itu Perdana Menteri ialah Tun Razak Hussein dan Menteri Pelajaran ialah Dr Mahathir. Fadzil Nor pula memangku jawatan presiden ABIM.

Kemudian daripada itu pucuk pimpinan ABIM memutuskan supaya Fadzil Nor, Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman menyertai PAS. Tetapi apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, Anwar menyertai UMNO dan diikuti dengan beberapa pemimpin ABIM seperti Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan Kamaruddin Jaafar. ABIM secara keseluruhan tetap menyokong Anwar.

Namun, Abdul Ghani Shamsuddin memilih untuk aktif dalam Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pimpinan Ahmad Awang. Abdul Ghani menjadi timbalan presiden. Itu semua kisah sejarah tetapi bekas pemimpin-pemimpin ABIM terus mencorak politik negara. Walaupun berubah wadah, perjuangan Islam tetap sama. Kini ada antaranya berada dalam PKR, sementara yang lain pula bersama dengan Amanah. Kamaruddin Mohd Nor kini bersama PPBM. Tetapi ketiga-tiga parti ini, PKR, Amanah dan PPBM bersama dam satu Pakatan Harapan yang menyokong Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Tiada ulasan