Terkini

Bajet besar untuk pilihan raya mencabar di Selangor

Oleh Sheridan Mahavera 

KERAJAAN Selangor membentangkan Bajet 2018 yang menyasarkan penduduk berpendapatan rendah dan menyelesaikan masalah infrastruktur dalam bandar negeri itu, berharap untuk terus mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya umum akan datang yang pastinya mencabar.

Bajet negeri akan meningkatkan dana untuk skim baru dan sedia ada bagi membantu keluarga kelas pekerja berdepan dengan tekanan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.
Program-program ini termasuklah skim kad perubatan, tambang bas sekolah untuk anak-anak pekerja ladang, insuran untuk semua pesawah padi, bonus untuk kakitangan awam dan bantuan makanan untuk wanita berpendapatan rendah.

Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) berharap jumlah besar bantuan ini akan meningkatkan peluangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika gabungan pembangkang itu akan bertemu bukan sahaja dengan Barisan Nasional (BN) tetapi juga sekutu lamanya, PAS- situasi yang mengikut sejarah kata penganalisis, akan memihak kepada BN.

Dalam usaha untuk menawan semua blok undi penting, kerajaan negeri sudah mengadakan kajian pandangan awam dalam kalangan enam juta penduduknya bagi mengetahui apakah kebimbangan utama mereka, kata seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor.

Kajian itu menunjukkan yang rakyat mahukan lebih banyak bantuan kebajikan bagi membantu mereka menangani tekanan kos sara hidup tinggi di kawasan bandar serta peluang pekerjaan yang lebih baik, kata pegawai itu yang enggan dinamakan.

Kebimbangan itu senada dengan penemuan awal yang ditemui dalam kajian Merdeka Center, yang menunjukkan kos sara hidup, ekonomi yang lembap dan gaji adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia.
“Kebimbangan penduduk Selangor tak banyak beza dengan kebimbangan rakyat negeri lain,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Center.

Ini dapat menjelaskan mengapa Selangor memperuntukkan sebahagian besar bajet, sejumlah RM187 juta untuk program-program yang boleh membantu menambah sumber pendapatan atau meringankan beban belanja rakyat negeri itu.

Misalnya, tahun depan kerajaan negeri akan mengambil alih sistem pengurusan semua flat kos sederhana dan rendah di negeri itu. Ia juga akan menghapuskan semua bayaran penilaian bagi tahun 2018.


Skim itu adalah sebahagian daripada RM1.66 juta yang diperuntukkan Selangor dalam bajet untuk perbelanjaan pembangunan, yang membentuk pecahan sebanyak 53.2% keseluruhan bajet berjumlah RM3.12 bilion.

Bajet Selangor dibentangkan semalam oleh Menteri Besar Azmin Ali. Parti dalam PH- PKR, DAP dan Amanah- mempunyai 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS yang sebelum ini menyokong kerajaan PH mempunyai 12 kerusi, BN juga mempunyai 12 kerusi manakala dua lagi kerusi dipegang calon bebas.

Peruntukan RM1.66 bilion itu lebih tinggi berbanding perbelanjaan pembangunan Selangor pada 2017 yang berjumlah RM1.65 bilion.

Tambahan RM50 juta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar adalah untuk membiayai program seperti Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang menyasarkan wanita berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

KISS memberikan RM200 sebulan kepada wanita yang layak bagi membantu mereka mengurangkan beban belanja makanan dan keperluan asas harian.

Skim kad perubatan “Peduli Sihat” juga dinaik taraf. Program itu yang memberi faedah kepada 600,000 penduduk negeri itu membolehkan keluarga berpendapatan rendah membelanjakan sehingga RM500 setahun di klinik swasta di Selangor.

Pada 2018, ibu bapa akan boleh menggunakan kad itu untuk mendapatkan suntikan vaksin “pneumococcal” percuma untuk anak-anak mereka. Dana tambahan juga akan disalurkan kepada skim ini untuk pesakit jantung dan mereka yang sudah menggunakan skim dialisis subsidi kerajaan negeri.

Program penjagaan kesihatan dijangka menelan belanja RM44.1 juta tahun depan di Selangor.
Penjawat awam dalam bajet negeri akan menerima bonus sebulan menjelang hujung tahun ini dan layak untuk skim insuran nyawa khas.

Program perumahan mampu milik, Rumahku Selangor pula akan membina lebih 20,311 unit rumah tambahan menjelang 2020, dan program sewa-dan-milik serta program pembeli rumah pertama pula menerima RM115 juta.

Sebahagian besar bajet lagi juga diperuntukkan untuk membaiki dan menambah baik jalan serta projek mengurangkan banjir, satu lagi kebimbangan masalah penduduk bandar, kata Dr Jeyakumar.

Bagaimanapun, ADUN Batang Kali Mat Nadzari Ahman Dahlan dari BN memperlekehkan bajet itu mengatakan ia hanya memberi manfaat kepada sebahagian penduduk berbanding bajet kerajaan persekutuan.

“Peruntukan mereka untuk ketua kampung dan pegawai misalnya adalah kecil berbanding kami. Juga tidak ada kawasan pembangunan baru yang dibuka,” kata Mat Nadzari.
“Mereka hanya tumpu kepada tempat yang kami sudah bangunkan bila kami berkuasa dahulu,” katanya.

Walaupun peruntukan besar itu mungkin diterima baik pengundi Selangor, antara yang paling celik politik dan berpendidikan di negara ini, PH masih perlu berdepan dengan perpecahan dalam gabungan mereka, kata Ibrahim dari Merdeka Center.

“Selangor ada kolam pengundi atas pagar yang besar. Ia cabaran untuk BN. Tetapi ia juga cabaran untuk pembangkang (PH) kerana perpecahan mereka.”

Pertandingan banyak penjuru di Selangor antara PH, PAS dan BN mungkin mengurangkan sokongan kepada pembangkang dan membolehkan BN merampas kuasa, kata Ibrahim.



























Tiada ulasan