Terkini

AS tak perbaharui lesen pejabat Palestin di Washington

JABATAN Negara Amerika Syarikat enggan memperbaharui lesen operasi pejabat Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) di Washington buat pertama kali sejak 1980-an, kata seorang pegawai Palestin pada Sabtu.
PLO yang dianggap masyarakat antarabangsa mewakili rakyat Palestin perlu memohon keizinan untuk terus beroperasi di ibu kota Amerika itu yang diperbaharui setiap enam bulan.

“Pihak Berkuasa Palestin menerima surat dari Jabatan Negara dua hari lalu memaklumkan yang setiausaha negara tidak mempunyai cukup alasan untuk terus membuka pejabat itu,” kata Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki kepada AFP.

“Ini tidak pernah berlaku dahulu dan kami sudah meminta penjelasan dari Jabatan Negara dan White House,” katanya. “Mereka beritahu kami akan ada mesyuarat dengan pakar undang-undang kanan pada Isnin, Mereka kata mereka akan beri jawapan jelas.”

White House yang mendesak pejabat itu ditutup sebelum ini meletakkan syarat kelulusan dari setiausaha negara yang perlu diperbaharui setiap enam bulan.

Tempoh enam bulan terbaru tamat dua hari lalu.

“Ini pertama kali sejak 1980-an wujudnya penangguhan menandatangani kebenaran untuk membolehkan pejabat terus dibuka,” kata Malki.

Beliau mengatakan ucapan terbaru Presiden Palestin Mahmud Abbas di Perhimpunan Agung PBB apabila Abbas mencadangkan isu penempatan Israel dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa mungkin menjadi sebab AS tidak mahu memperbaharui keizinan itu.

Pegawai Kanan Palestin Saeb Erekat sudah menulis kepada pentadbiran AS menyifatkan tindakan itu “tidak boleh diterima, tindakan mundur dan satu keputusan politik yang boleh menyebabkan peranan AS dalam proses rundingan damai berakhir”, kata Malki.

Katanya, kepimpinan Palestin akan bertemu pada Isnin untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

Walaupun lesen operasi tidak diperbaharui, undang-undang AS membenarkan pejabat itu beroperasi “dengan kapasiti berkurangan” selama 90 hari iaitu tempoh rundingan permohonan dilakukan, kata Malki. – AFP

Tiada ulasan