Terkini

Adun Umno mahu P Pinang beri RM2,000 kepada mangsa banjir

GEORGE TOWN: Seorang Adun Umno mencadangkan pemberian RM2,000 sekali beri kepada semua isi rumah yang terjejas dalam banjir kilat di Pulau Pinang, yang meragut 7 nyawa dan lebih 3,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata bantuan itu akan membantu isi rumah yang mengalami kerosakan harta benda serta membeli makanan dan keperluan lain.

“Menyedari ribut dan hujan baru-baru ini, yang terburuk dalam sejarah negeri, saya mencadangkan Dewan Undangan negeri memberikan bantuan khas RM2,000 kepada setiap isi rumah.

“Sekolah, masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam juga perlu diberi pampasan yang adil.

“Jumlah itu patut diberikan tanpa perlu meminta mereka menjadi ahli Pakatan Harapan.

“Dana bagi tujuan itu perlu diambil daripada dana disatukan,” katanya semasa membentangkan usul di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Farid turut meminta semua kakitangan kesihatan daerah menjalankan lawatan rumah ke rumah untuk memastikan mangsa banjir tidak terkena penyakit bawaan air.

“Air banjir mungkin dicemari air daripada pembentungan. Oleh itu jabatan kesihatan mesti cepat merawat mangsa banjir,” katanya.

Farid memberitahu Speaker Law Choo Kiang yang beliau tidak mahu usul itu dibahaskan, memadai sekadar dipertimbangkan.

Law berkata usul tidak akan diiktiraf secara rasmi jika tidak dibahas, tetapi usul Farid mungkin sudah didengari para exco yang hadir.

Terdahulu, Exco Chow Kon Yeow membentangkan usul tergempar mengenai banjir kilat yang berlaku pada hujung minggu.

Usul merangkumi pelbagai perkara, termasuk menambahbaik prosedur bantuan bencana dan amaran banjir atau cuaca buruk.

Usul dibahaskan selama 3 jam dan disokong sebulat suara oleh para Adun.

1 ulasan:

  1. ADUN BN ni nak berpolitik juga dalam isu begini. Sudah-sudahlah Jangan menampakkan diri anda sangat tidak cerdik. Nanti kalau orang banding dengan pemberian BN, malu saja jadinya. Tak perlu sebut kadar. Sebut sahaja "bantuan". Jangan nak menangguk di air keruh kerana orang mampu melihat apa yang anda fikirkan. Jangan menampakkankan bahawa BN tak cerdik.

    BalasPadam